USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TINGKATKAN LAGI PRESTASI KERJA DEMI KECEMERLANGAN UNIVERSITI

040614-1

NIBONG TEBAL, 4 Jun 2014 - Warga staf Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk meningkatkan lagi prestasi kerja masing-masing demi mencapai tahap kecemerlangan untuk diri sendiri dan universiti selari dengan status USM sebagai Universiti Penyelidikan dan Universiti APEX.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, setiap staf dari pihak pengurusan atasan hingga ke peringkat pelaksanaan perlu memainkan peranan masing-masing dan terus menyumbangkan tenaga dan buah fikiran serta menunjukkan komitmen yang tinggi dan penyatuan kerja sebagai satu pasukan dalam usaha merealisasikan hala tuju universiti.

“Kampus Kejuruteraan misalnya walaupun mempunyai bilangan staf yang agak kecil berbanding dengan Kampus Induk dan Kampus Kesihatan, namun kampus ini dapat diuruskan dengan baik sekali dengan infrastruktur bertaraf antarabangsa dan program akademik yang cemerlang serta melahirkan ramai pensyarah yang juga penyelidik yang bertaraf antarabangsa dalam bidang kejuruteraan masing-masing.

“Malah berdasarkan QS World University Rankings terkini mengikut subjek 2014, didapati program-program Kejuruteraan dan Teknologi dalam kelima-lima Universiti Penyelidikan (RU) mendapat ranking antara 200 terbaik di dunia, sekaligus melonjakkan USM, yang merupakan salah satu universiti RU, ke persada antarabangsa,” kata Naib Canselor dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2013 yang buat pertama kalinya diadakan secara berasingan di Kampus Kejuruteraan untuk meraikan staf-stafnya di sini hari ini.

040614-23

Seramai 69 staf menerima APC masing-masing daripada Naib Canselor, dan mereka terdiri daripada staf akademik (20 penerima), staf pengurusan dan profesional (8) dan pelaksana (41) yang dinilai berdasarkan prestasi kerja cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun 2013.

Sebelum ini, 348 warga staf telah menerima APC di Kampus Induk Pulau Pinang pada penghujung bulan April manakala 380 orang lagi menerimanya di Kampus Kesihatan Kubang Kerian pada hujung bulan Mei yang lalu.

Kesemua penerima APC pada tahun ini membawa pulang sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium yang dikeluarkan oleh Bank Simpanan Nasional bernilai RM1000.00.

Turut menjadi kebanggaan kepada Kampus Kejuruteraan ialah terdapat seorang dalam kalangan mereka yang terpilih sebagai calon peringkat akhir bagi anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Mohd Fauzi Ali, Penolong Jurutera yang bertugas di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam.

040614-3

Di samping itu, Naib Canselor juga menggalakkan para pensyarah untuk memperoleh dan memperbanyakkan lagi kolaborasi dengan institusi-institusi dan pusat-pusat penyelidikan luar negara terutamanya dalam bidang-bidang niche tertentu kerana ini merupakan salah satu KPI universiti yang utama pada masa hadapan.

“Saya berharap semua warga kampus sama ada pensyarah mahupun staf profesional dan pelaksana dapat membawa para pelajar untuk mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi bersama-sama dengan kampus-kampus USM yang lain,” tambah Naib Canselor.

Turut hadir ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak; Pendaftar USM, Siti Zubaidah A. Hamid, dekan-dekan dan pegawai-pegawai universiti. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa  

 

  • Created on .
  • Hits: 1279

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024