USM SEKALI LAGI JAGUH FUTSAL MAKSAK 2014
PULAU PINANG, 9 Jun 2014 – Kecemerlangan pasukan futsal Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi ditonjolkan apabila pasukan lelaki dan wanitanya menjadi johan dalam Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Anggota Kerajaan (MAKSAK 2014) yang berlangsung di Kompleks Sukan Safira, Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.
Pasukan futsal lelaki USM 'A', yang dibarisi pemain kebangsaan, Zubaidi Alawee dan beberapa pemain negeri, mengharungi perlawanan akhir yang sengit menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum menang 3-2 bagi mengekalkan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.
Menurut pengurus pasukan, Azlisufryzal Bunizar, kejayaan menumpaskan PDRM amat bermakna kerana berjaya membalas dendam apabila lawannya itu telah menyingkirkan satu lagi pasukan USM 'B' pada peringkat suku akhir.
"Persiapan dan latihan rapi yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu di gelanggang futsal USM, ternyata membuahkan hasil yang membanggakan.
"Walaupun kami berlatih di gelanggang yang bukan ukuran sebenar bagi perlawanan futsal, ia ternyata bukan halangan malah dengan sokongan dari pengurusan tertinggi USM khasnya dan Pusat Sukan umumnya, johan mutlak menjadi milik kita bersama," katanya.
Azlisufryzal juga berharap agar sebuah gelanggang futsal bertaraf antarabangsa dapat dibina di dalam kampus USM bagi memudahkan pasukan menjalani latihan sempurna, di samping dapat digunakan pelbagai pihak dalam menaik taraf mutu sukan futsal yang kini sememangnya kian popular.
Skrip berbeza pula dilakar pasukan futsal wanita USM, yang tidak menghadapai masalah menewaskan pasukan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) 5-0 dalam perlawanan akhir.
Pengurus pasukan, Rohartina Razali menyifatkan kejayaan futsal wanita USM mengekalkan kejuaraan bagi tahun kedua, amat istimewa apatah lagi persiapan pasukan dilakukan dalam masa yang amat singkat.
"Walaupun tewas perlawanan pertama, kami tidak panik malah merancang strategi menyerang dan bertahan yang lebih ampuh dan syukur kemenangan dilakar hingga ke perlawanan akhir," katanya.
Tambahnya lagi, faktor keserasian memainkan peranan penting dan merupakan tunjang bagi memahami pergerakan dan cara permainan rakan sepasukan.
"Kami berharap pasukan futsal wanita USM akan terus diberi peluang untuk menyertai mana-mana pertandingan futsal yang dianjurkan bagi memantapkan lagi corak permainan dan meraih pengalaman berharga."
Johan pertandingan menerima hadiah berupa piala iringan, medal dan barangan elektrik yang disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Dato' Patahiyah Ismail.
- Teks: Mohamad Danial Shahri / Foto: Azlisufryzal Bunizar/Rohartina Razali
- Created on .
- Hits: 1494