USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUAN RUMAH KARNIVAL UNIVERSITI PENYELIDIKAN

IMG 7460

PULAU PINANG, 10 Jun 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi tuan rumah Acara Media Universiti Penyelidikan (RU Event) yang mempamerkan kejayaan lima buah Universiti Penyelidikan, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dijenamakan sebagai Karnival Universiti Penyelidikan@USM.

Ia akan berlangsung dan terbuka secara percuma kepada orang ramai di Sains@USM Bukit Jambul Pulau Pinang pada 13 dan 14 Jun ini.

Program yang akan dihadiri oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh tersebut pada 14 Jun 2014, mulai jam 9.30 pagi akan mengetengahkan aspek Pembangunan Penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh cendekiawan negara, selepas dua siri terdahulu yang berfokus kepada pengurusan bakat dan penerbitan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, Karnival Universiti Penyelidikan akan memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dari dekat pencapaian universiti-universiti penyelidikan di negara ini yang kini semuanya tersenarai antara 200 ranking dunia.

Katanya, untuk pertama kalinya juga USM turut menganjurkan Cabaran Inovasi (Innovation Challenge) yang terbuka kepada para pelajar-pelajar sekolah untuk menguji kekuatan minda mereka melalui permainan yang diadakan khas bermula pada hari Jumaat di lokasi yang sama.

IMG 7426

``Cabaran Inovasi ini berteraskan kepada permainan minda dengan menyediakan hadiah lumayan sebanyak RM5,000 untuk tempat pertama, RM3,000 tempat kedua dan RM1,000 tempat pertama sumbangan Menteri Pendidikan II.

``Beliau (Menteri Pendidikan II) juga akan menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabaran Inovasi di samping melihat dari dekat pameran yang diadakan oleh kelima-lima universiti yang bertemakan “Positioning Malaysian R&D on the World Map” itu,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengumumkan perkara tersebut di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dan TNC Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

Omar turut berkata, Menteri juga kemudiannya akan mempengerusikan satu forum khas “University - Industry” yang akan disertai oleh Pengarah Urusan Alterra Corporation Dato’ Mohd Sofi Osman, Penasihat Presiden Toyohashi University of Technology, Matsuda Atsunori dan Pengarah Urusan Dolphin Application Sdn. Bhd. Gregory L. Foster.

``USM juga turut akan memeterai perjanjian persefahaman di antara USM dengan MARA bertempat di Dewan Persidangan Universiti USM.

``Persefahaman ini adalah untuk USM dan pihak-pihak berkenaan bekerjasama dalam usaha pembangunan akademik, keusahawanan dan penyelidikan,’’ tambah beliau lagi.

IMG 7481

Dalam pada itu, program khas yang menjadi platform untuk pihak media melihat dan menghebahkan pencapaian RU kepada umum tersebut turut memperlihatkan pelbagai hasil produk penyelidikan dipamerkan untuk orang ramai sepanjang Karnival Universiti Penyelidikan.

Ini termasuklah penyelidikan-penyelidikan yang ditujukan terus kepada komuniti. Ini termasuklah mee sihat, burger dari cendawan, biskut berkhasiat sehinggalah kepada hasil penyelidikan dalam bidang kesihatan seperti “Bal-Ex Foot, Modified Shoes for Post Stroke Rehabilitation”,  “Wheelsaver”, MyUSMDental Fillings” dan lain-lain lagi.

Universiti-universiti Penyelidikan juga akan mempamerkan hasil penyelidikan yang dikatakan menggunakan teknologi yang dianggap “cutting edge” dan dapat membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat di samping secara umumnya meletakkan penyelidiklan negara kita di pentas dunia.

  • Created on .
  • Hits: 1931

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024