USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MBSB SERAH ZAKAT PERNIAGAAN KEPADA USM

DSC 0195a

PULAU PINANG, 10 Jun 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menerima sumbangan zakat berjumlah RM100,000 daripada Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dalam suatu majlis yang ringkas tetapi cukup bermakna bagi USM dan MBSB.

Menurut Naib Canselor, bagi pihak USM, saya amat berterima kasih kepada MBSB kerana telah memilih USM sebagai penerima pertama sumbangan zakat di kawasan Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.

“Ini juga kali pertama USM menerima sumbangan zakat daripada MBSB, dan saya melihat MBSB sebagai rakan strategik bagi melebarkan lagi jalinan kerjasama antara USM dan MBSB terutamanya dalam pemantapan pendidikan.

“Saya percaya sumbangan zakat ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk urusan pendidikan dan kebajikan pelajar khususnya mereka yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan kewangan,” kata Naib Canselor.

Naib Canselor juga mengharapkan sumbangan zakat ini dapat dijadikan sumber bantuan kecemasan untuk membantu pelajar-pelajar yang memerlukan dari semasa ke semasa bagi memudahkan segala urusan mereka.

“Selain itu, ini juga merupakan satu permulaan yang baik antara MBSB dan USM bagi membina pertalian yang kukuh untuk jangka masa panjang,” tambah Naib Canselor.

Menurut Timbalan Naib Presiden Kanan Perbendaharaan MBSB, Asrul Hazli Salleh pula, wang zakat yang diserahkan kepada USM itu merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM3.7 juta yang disediakan untuk beberapa institusi tempatan yang dikenalpasti di seluruh negara.

“Sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat MBSB bagi menyalurkan zakat kepada asnaf-asnaf yang layak khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi negara,” kata Asrul Hazli.

Cek sumbangan sebanyak RM100,000 itu telah diserahkan oleh Asrul Hazli kepada Naib Canselor USM. 

Antara yang turut hadir di majlis penyerahan zakat tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; dan Pemangku Bendahari USM, Rohayati Mohd Isa. - Teks: Tan Ewe Hoe & Shazreen Sahimi/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1211

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024