USM HASIL PENAMPAL GIGI TEMPATAN

PULAU PINANG, 10 Jun 2014 – Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan bahan penampal gigi yang menggunakan hampir 100 peratus bahan tempatan dan hanya akan dijual dengan harga RM50 satu tiub berbanding penampal sedia ada yang diimport berharga RM200 satu tiub.
Penyelidikan dan penghasilan penampal tersebut yang mengambil masa lebih kurang dua tahun diberi nama MyUSMDental Fillings dan diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) USM Profesor Dr Zainal Arifin Ahmad.
Menurut beliau, MyUSMDental Fillings adalah hasil gabungan minyak yang diimport iaitu resin dan serbuk seramik buatan tempatan menjadikan bahan tampalan yang dinamakan Komposit Resin Pergigian (KRP) atau Dental Resin Composites.

"Serbuk seramik tersebut adalah formula baru KRP yang menggunakan Bis-phenol A-glycidyl dimethacrylate (Bis-GMA) dan triethylene glycol dimethacrylate (TEGDMA) bersama-sama silika, alumina dan zirkonia terawat.
"Bahan-bahan ini menjadikan MyUSMDental Fillings dapat merawat gigi di samping menghalang pertumbuhan bakteria di kawasan sekitar gigi yang ditampal kerana ia tidak menyerap air," kata Zainal Arifin dalam satu sidang media yang diadakan hari ini.
"Kawasan gigi yang mengalami kerosakan akibat kaviti akan ditampal menggunakan MyUSMDental Fillings, dan kemudian menggunakan alatan khas bagi mengeraskannya. Dengan hanya 80 saat, setiap tampalan itu sedia digunakan dan bertahan selama lebih kurang 4-8 tahun dan sangat sesuai untuk tampalan gigi hadapan mahupun belakang.

MyUSMDental Fillings sangat efektif dan mempunyai ciri-ciri tahan lasak termasuk keliatan patah, kekuatan lenturan, modulus lenturan, kekerasan Vickers, radiopasiti, sifat terma dan bioserasi.
Produk MyUSMDental Fillings tersebut adalah antara produk yang akan dipamerkan di Karnival Universiti Penyelidikan yang akan diadakan pada 13-14 Jun 2014 bertempat di SAINS@USM, Bukit Jambul, Pulau Pinang. Karnival ini yang akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan II, Y.B. Dato' Seri Idris Jusoh adalah siri pameran oleh Universiti Penyelidikan dengan tema Positioning Malaysian R&D on the World Map.

Turut bersama Zainal Arifin menjalankan penyelidikan tersebut ialah Pensyarah PPKBSM, Profesor Dr Hazizan Md Akil dan calon Ph.D. PPKBSM, Saad Omar Alsharif.
Produk ini telah mempunyai rahsia perdagangan dan sedia dipasarkan. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1555