USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI PENJERAP WARNA UNTUNGKAN INDUSTRI

IMG 7650

PULAU PINANG, 12 Jun 2014 – Inovasi penghasilan cat penjerap warna hasil buangan industri terutamanya industri tekstil dapat menjimatkan kos merawat air sisa tersebut. Pembebasan sisa air yang mengandungi logam berat seperti itu menjadikan industri mencari alternatif kepada inovasi yang mengguntungkan dan pengurangan kos rawatan air tersebut. 

Inovasi tersebut yang dinamakan Paintosorp adalah hasil penyelidikan pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Suzylawati Ismail. Paintosorp dapat digunakan untuk penyingkiran warna yang mengaplikasikan satu konsep baru menggunakan bahan lapisan bersalut penjerap. 

Paintosorp dapat membantu industri tekstil tersebut bagi penjimatan kos kerana ianya tidak perlu sebarang unit rawatan baru seperti turus ataupun bahan kimia yang memerlukan kos yang tinggi. 

IMG 7694

“Paintosorp boleh dilapiskan di pelbagai permukaan seperti kayu, PVC, kaca mahupun simen dengan satu lapisan yang sangat nipis dan dapat menjerap warna setanding bahan kimia yang digunakan di pasaran,” kata Suzylawati dalam satu sidang media yang diadakan di sini hari ini. 

“Namun Paintosorp sangat mesra alam bukan hanya sekadar tidak menggunakan bahan kimia tetapi dapat menyelesaikan masalah pembuangan air sisa berwarna yang mengganggu hidupan air dan juga pencemaran estetik dan akuatik,” tambah Suzylawati yang hanya menjalankan penyelidikan dalam tempoh masa lapan bulan dan menelan belanja sekitar RM50,000.00. 

“Selain itu, Paintosorp dapat juga digunakan dalam industri yang membebaskan bahan buangan  berwarna seperti industri pembuatan kertas, farmaseutikal, minyak kelapa sawit dan juga plastic,” ulas Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman. 

Produk ini adalah salah satu produk yang akan dipamerkan di Karnival Universiti Penyelidikan@USM yang akan diadakan pada 13-14 Jun 2014 bertempat di SAINS@USM, Bukit Jambul, Pulau Pinang. 

IMG 7700

“Karnival ini diadakan bagi mendedahkan kepada masyarakat hasil-hasil penyelidikan lima buah Universiti Penyelidikan di Malaysia iaitu USM, UM, UPM, UTM dan juga UKM. 

“Karnival ini akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan II, Y.B. Dato’ Seri Idris Jusoh pada hari Sabtu, 14 Jun 2014 jam 9.30 pagi,” tambah Naib Canselor. 

Kumpulan penyelidik bersama Suzylawati adalah Profesor Dr Abdul Latif Ahmad dan juga Syahida Farhan Azha yang juga daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1089

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024