USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEMUA BERPERANAN BANGUNKAN USM-NC

120614-1

PULAU PINANG, 12 Jun 2014 – Dalam pengurusan tadbir urus dan operasi harian di Universiti Sains Malaysia (USM), semua pihak tanpa mengira pangkat mempunyai peranan masing-masing yang perlu digalas sebagai amanah untuk membangunkan institusi ilmu ini.

Demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika mengingatkan warga USM mengenai tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh setiap darinya, yang masing-masing tidak kurang pentingnya tanpa mengira apa juga jawatan.

Katanya, semua pihak perlu mengakui dan menghormati peranan, kepakaran dan bidang kuasa masing-masing, walaupun bidang kuasa itu hanyalah pada seorang yang bergelar buruh.

120614-3

``Dalam setiap institusi, setiap orang dan anggotanya adalah sama penting dan agama mengajar setiap dari kita adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap apa dan siapa yang dipimpin.

``Sebagai contoh, pengurusan tertinggi termasuk Naib Canselor dan sebagainya adalah bahagian utama kepimpinan yang menguruskan dan mentadbir segala sumber yang ada untuk mencapai hala tuju USM.

``Para pentadbir dan staf sokongan pula penting kerana perlu menyokong dan mengurus pelaksanaan dasar yang telah ditetapkan bersama dalam mencapai hala tuju tersebut. Begitu juga pensyarah dan pelajar yang menjadi nadi kepada sebuah Universiti,’’ katanya.

IMG 7596

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Perhimpunan Bulanan Naib Canselor, yang diadakan sebulan sekali sebagai salah satu ruang untuk mendekatkan ukhuwah dalam kalangan warga stafdan saling memperingati dan menasihati antara satu sama lain bagi meningkatkan lagi prestasi, produktiviti serta motivasi diri warga kampus.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengarah ISDEV, Profesor Muhammad Syukri Salleh, Pengarah RCMO, Profesor Madya Dr. Lee Keat Teong dan staf sokongan dari Jabatan Bendahari, Mohd. Adnan Yahaya.

Omar juga turut berkata, untuk menjalankan fungsi kita sebagai pengurus dengan baik khususnya dalam mengurus USM, warganya perlu mempunyai tiga kekuatan utama iaitu Iman dan Takwa; ukhwah dan keselarasan dan kesefahaman.

120614-2

``Ketiga-tiga kekuatan ini adalah tapak atau landasan yang betul dalam kita menuju puncak kecemerlangan. Kita perlu berusaha mencapai kecemerlangan USM bermula dengan kecemerlangan peribadi masing-masing.

``Dalam keadaan ini, kita boleh berkorban apa sahaja kerana yakin dengan ganjaran baik yang akan diperoleh kelak,’’ ujar beliau sambil mengingatkan warga kampus untuk memperbanyakkan amalan baik khususnya menjelang Ramadhan. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 974

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024