USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENJANGKAUI PENEMUAN SAINTIFIK UNTUK KEPENTINGAN SEJAGAT

130614-1

KOTA BHARU, KELANTAN, 10 Jun 2014 – Persidangan Pascasiswazah Sains Hayat dan Kesihatan 2014 (HeLiPC 2014)dengantema ‘Menjangkaui Penemuan Saintifik’ telah diadakan di sini baru-baru ini bagi membincangkan aspek penemuan saintifik untuk kepentingan sejagat bagi masa depan dunia penyelidikan.

Menurut Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Norazmi Mohd Nor, para saintis dan ilmuan perlu memanfaatkan pengisian dalam persidangan ini untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing.

"Ini adalah perlu bagi kepentingan semua pihak dan melihat sesuatu yang baru dalam dunia penyelidikan selain mencari ruang untuk tujuan pengkomersilan produk-produk penyelidikan terkini di pasaran dunia," kata Norazmi ketika merasmikan persidangan tersebut.

"Persidangan ini mendedahkan kepada dunia luar penemuan-penemuan saintifik dan mencari penyelesaian mengenai bagaimana untuk menjadikan penemuan itu kepada sesuatu yang lebih bermakna dan berkesan," tambah beliau.

Persidangan anjuran INFORMM dengan kerjasama Institut Pengajian Siswazah dan Persatuan Sarjana Lanjutan USM ini telah disertai oleh seramai 140 orang pelajar pascasiswazah dari dalam dan luar USM selain turut mendapat penyertaan peserta luar negara.

130614-2

Norazmi berharap persidangan kali ini dapat membantu para peserta untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan belajar supaya lebih berdikari dan terbuka dengan dunia luar serta bijak merebut peluang yang ada.

"Sebagai ahli sains, kita perlu belajar bagaimana untuk mengemudi melalui landskap pengetahuan yang sentiasa mencabar minda kita dan platform ini bagi saya merupakan satu peluang yang amat sesuai untuk kita meneroka potensi yang bakal menanti di masa hadapan agar tidak terus ketinggalan," tambah beliau lagi.

Dalam persidangan ini juga, para peserta turut mempamerkan hasil penyelidikan melalui pameran poster dan pembentangan secara lisan.

Turut sama hadir semasa majlis perasmian persidangan tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Adam Husein; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Ahmad Zakaria; Pengarah Pusat Inisiatif Penyelidikan Sains Klinikal dan Kesihatan, Profesor Dr. Nik Soriani Yaacob; Timbalan Dekan (Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Rosline Hassan serta para jemputan dalam dan luar USM. - Teks & Foto: Mohd Rodin Che Yusoff

  • Created on .
  • Hits: 1121

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024