USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI DISARAN ‘TEGUR’ PIHAK INDUSTRI

140614-1

PULAU PINANG, 16 Jun 2014 – Universiti atau dahulunya sinonim dengan nama menara gading disaran agar lebih proaktif ‘menegur’ pihak industri bagi mengetengahkan segala pencapaian dan potensi penyelidikan yang berpeluang untuk dikomersialkan.

Itu antara pandangan yang dikemukakan panelis industri ketika mengupas topik ‘The Role of University in Propelling R&D in Local Industry’ yang diadakan bersempena penganjuran Karnival Universiti Penyelidikan@USM di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Pengarah Urusan Altera Corporation Technolgy Center, Dato’ Mohd Sofi Osman berkata, pihak industri komited untuk berkolaborasi dengan universiti namun tidak mempunyai cukup maklumat berkaitan khususnya kemampuan universiti dalam mengembleng kekuatan bersama.

140614-2

``Universiti perlu tampil dan bertemu dengan industri. Kita ambil pendekatan sebagai memikat, industri ini diibaratkan seperti kaum wanita dan jika mahu berkawan, tegur, berbicara dan bersahabatlah dengan kita,’’ katanya sambil menyifatkan banyak manfaat dapat diperoleh jika kedua-dua pihak bersatu.

Tambah beliau, industri kini mempunyai sistem sokongan dari sektor korporat yang dirasakan dapat memenuhi keperluan mereka untuk mencapai objektif organisasi, sekaligus merealisasikan kehendak industri mengikut jadual yang ditetapkan.

``Jika Universiti juga sudah mempunyai kekuatan yang sama, kedua-dua pihak boleh bekerjasama dengan baik dan tidak timbul isu industri meminggirkan universiti atau sebaliknya,’’ ujar beliau.

140614-3

Menteri Pendidikan II, Dato Seri Idris Jusoh hadir bagi melancarkan karnival tersebut dan turut bersama menjadi panelis forum tersebut yang dipengerusikan oleh penyampai televisyen yang kini mengendalikan slot Bual Bicara di Bernama TV, Sherkawi Jirim.

Turut menjadi panel forum ialah Presidential Advisor (international Affairs) Toyohashi University of Technology Japan, Profesor Atsunori Matsuda dan General Manager, Dolphin Application Sdn. Bhd, Gregory L. Foster.

Idris pula berkata, Universiti memerlukan model baharu pentadbiran bagi meningkatkan usahasama dengan industri selain perlu sedia mengubah cara pentadbiran di sesebuah universiti bagi memudahkan penyelidikan dan pembagunan (R&D).

140614-4

``Ketika ini hubungan antara industri dan universiti masih baharu, universiti masih mendekati industri dan pihak industri juga perlu mendekati universiti.

``Kita perlu kepada satu model baharu bagaimana universiti patut ditadbir dan bagaimana kementerian patut mentadbir universiti. Ia perlukan pembaharuan," katanya

Beliau juga berkata sejumlah RM1.2 juta telah diperoleh hasil dari pengkomersialan produk-produk R&D sejak lima tahun lepas hasil dan dijangka jumlah itu akan bertambah pada masa akan datang.

140614-5

140614-6

``Ketika ini semuanya masih di peringkat permulaan, dengan adanya usaha kerajaan mewujudkan lima buah universiti penyelidikan (RU) ia dapat merakyatkan ilmu dan mampu meningkatkan ekonomi, selain memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata lima buah RU itu ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM).

Idris berkata kementerian komited memastikan peruntukan dana R&D akan ditambah bersesuaian dengan keperluan semasa dalam usaha merancakkan lagi penyelidikan di universiti tempatan agar setanding universiti luar negara.

IMG 8023

 "Saya percaya peruntukan penyelidikan patut ditambah dan saya akan pastikan ia akan ditambah, kita mahu penyelidikan menjadi sebagai satu budaya kita," katanya.

Terdahulu, Idris telah meninjau dengan lebih dekat projek-projek penyelidikan yang telah dibangunkan oleh penyelidik RU dan berpeluang melihat kreativiti pelajar sekolah dan kolej matrikulasi dalam program khas Cabaran Inovasi. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus. Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 912

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024