USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PFS JUARA CABARAN INOVASI

IMG 8527

PULAU PINANG,  16 Jun 2014 – Pasukan pelajar daripada Penang Free School (PFS) telah menjuarai Cabaran Inovasi yang dianjurkan sempena Karnival Universiti Penyelidikan yang diadakan di Kompleks SAINS@USM, Universiti Sains Malaysia (USM), Bukit Jambul baru-baru ini.

Pasukan tersebut membawa pulang wang tunai berjumlah RM5000.00 mengatasi 45 pasukan lain yang mengambil bahagian mewakil 15 buah sekolah menengah seluruh Pulau Pinang, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan juga Koleh MARA Kulim.

SMKA Al-Irshad memenangi tempat kedua manakala SMJK (P) Cina Pulau Pinang di tempat ketiga masing-masing membawa pulang RM3000.00 dan juga RM1000.00.

140614-40

Cabaran Inovasi yang berlangsung dua hari bermula 13 Jun tersebut merangkumi tiga cabaran iaitu Cabaran IQ, Inovasi dan juga Ketepatan bermatlamat untuk membudayakan inovasi dan kreativiti dan memupuk minat pelajar dalam ilmu sains dan teknologi.

“Cabaran seperti ini perlu didedahkan kepada para pelajar supaya setiap teori yang dipelajari di kelas dapat diaplikasikan dan dipraktikkan dalam penghasilan inovasi,” kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan II, Kementerian Pendidikan Malaysia Dato’ Seri Idris Jusoh. Beliau telah melancarkan roket botol atau bottle rocket bagi menandakan pelancaran Cabaran Inovasi yang julung-julung kalinya diadakan di USM dengan melibatkan lebih 200 orang pelajar.

“Pendedahan mengenai sains dan teknologi kepada para pelajar seperti ini bertepatan dengan kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” ujar Menteri Pendidikan II. 

Karnival Universiti Penyelidikan tersebut diadakan bertujuan untuk mempamerkan kejayaan lima buah Universiti Penyelidikan di negara ini iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan USM. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 925

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024