USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMENTERIAN PENDIDIKAN BANTU USM JAYAKAN PELANCONGAN EKO KAMPUS

IMG 9386

PULAU PINANG, 16 Jun 2014 - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk membantu Universiti Sains Malaysia (USM) menjayakan projek pelancongan eko kampus termasuk dengan bantuan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKM).

Demikian dinyatakan oleh Ketua Setiausaha II KPM, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ketika merasmikan Pusat Transformasi Komuniti Universiti atau University Community Transformation Center (UCTC) di Pusat Nadi USM di sini hari ini.

"Kita tahu bahawa pelancong-pelancong yang datang ke negeri Pulau Pinang ini bukan sahaja ingin melihat produk-produk pelancongan sedia ada, tetapi hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan yang sewajarnya dapat dipakejkan sebagai sebahagian daripada tarikan utama kepada mereka sama ada di luar mahu pun dalam negeri Pulau Pinang," kata Zaini.

160614-14

Di samping itu, hasil-hasil kajian USM terutamanya produk-produk yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat seharusnya juga dipasarkan secara lebih meluas.

Beliau juga memberi jaminan dan komitmen untuk memastikan pihak-pihak yang berkaitan seperti KPKM serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terlibat membantu merealisasikan usaha ini.

Kata Zaini, usaha ini juga boleh menjadi sebahagian daripada projek di bawah UCTC dan ianya adalah satu daripada projek Strategi Lautan Biru Nasional (National Blue Ocean Strategy – NBOS).

160614-11

“Saban bulan kepimpinan negara berjumpa Professor W. Chan Kim, penulis buku BOS dan memberi laporan tentang perkembangan yang berlaku di seluruh negara.

“Saya fikir program yang dilakukan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM ini perlu dilaporkan kejayaannya terutamanya sumbangannya kepada masyarakat yang selama ini tidak dibuat dan dilakukan oleh orang lain,” tambah Zaini.

Jelasnya lagi, projek-projek NBOS ini perlulah  lebih murah berbanding dengan kaedah tradisional (low cost), tidak mengambil masa yang panjang (rapid execution), mampu memberi manfaat yang besar kepada rakyat (high impact) dan lestari.

160614-12

160614-15

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementeriannya mensasarkan penglibatan kira-kira 200,000 orang warga universiti dalam menjalankan aktiviti komuniti di seluruh negara dan pada masa ini, kira-kira 15% daripada jumlah tersebut berjaya dilakukan. Hal ini berikutan kebanyakkan projek-projek komuniti dijalankan semasa cuti antara semester seperti waktu sekarang ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, USM akan berfokus kepada inovasi yang berasaskan keperluan komuniti yang memadankan penyelidikan di universiti dengan keperluan masyarakat dan menjadikan kita relevan.

160614-16

"Kementerian perlu mengiktiraf penglibatan pensyarah dalam libat sama masyarakat dan perpindahan ilmu sama seperti penglibatan dalam penyelidikan dan inovasi apatah lagi dengan fokus kita kepada kumpulan terpinggir dalam masyarakat," kata Omar

Beliau turut memberi jaminan dan komitmen untuk USM terus menyokong pembangunan UCTC dan memohon supaya pihak Kementerian menjalankan penilaian dan pemantauan berterusan untuk mendapatkan sokongan rakan-rakan industri.

160614-17

160614-18

IMG 9338

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (BJIM) Profesor Dato' Dr. See Ching Mey dan ketua-ketua jabatan USM.  Pada majlis yang sama Dato' Seri Zaini Ujang turut menandatangani plak pelancaran UCTC USM dan menyampaikan watikah pelantikan Ketua Penyelaras UCTC USM kepada Syed Yusof Syed Kechik dan penyelaras-penyelaras UCTC iaitu Azril Ali dan Profesor Dr Dinsuhaimi Sidek. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1437

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024