USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NEGARA PERLU MODEL PENGAJIAN TINGGI BAHARU

140614-5

PULAU PINANG, 14 Jun 2014 - Negara ini memerlukan model pengurusan pengajian tinggi yang baharu sesuai dengan pelbagai perubahan yang berlaku di seluruh dunia dan menjadikan ia sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan akan datang.

Hal ini dinyatakan oleh Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris Jusoh dalam sidang media yang diadakan sempena Karnival Universiti Penyelidikan di Sains@USM Bukit Jambul di sini.

"Sistem pentadbiran institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini memerlukan model atau pendekatan baharu supaya hubungan IPT dengan pihak industri dapat diperkukuhkan dan sentiasa relevan," kata Idris.

Katanya lagi, bukan sahaja mereka yang berada di universiti terutamanya para pengurus, pentadbir, para profesor, pensyarah dan seluruh warganya perlu melakukan perubahan dalam pemikiran terhadap hal ini, tetapi juga mereka yang berada di Kementerian Pendidikan dan kementerian-kementerian lain supaya dapat memahami segala perubahan yang berlaku di sekeliling kita.

"Apatah lagi dalam usaha memastikan produk-produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama yang dihasilkan oleh lima buah universiti penyelidikan di negara ini dapat dikomersilkan dan dikongsi bersama-sama dengan pihak industri bagi memastikan mendapat faedah optimum daripada usaha-usaha yang dilakukan," kata Idris.

Lima buah universiti penyelidikan itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang turut mengadakan pameran hasil penyelidikan kepada orang ramai dalam karnival tersebut.

Menurut Idris lagi, pihak universiti atau pihak industri ketika ini perlu memulakan langkah untuk mengangkat R&D yang dilihat berpotensi untuk dikomersialkan tanpa mengharapkan pihak-pihak lain membuka jalan ke arah tersebut melalui pelbagai kaedah yang sesuai. Sejak lima tahun lalu, nilai pengkomersialan R&D oleh universiti dikatakan mencecah sebanyak RM1.2 bilion dan jumlah ini sebenarnya tidak banyak kerana masih di peringkat permulaan.

Ditanya tentang keperluan menambahkan peruntukan untuk Universiti Penyelidikan, Idris memberikan komitmen menyokong usaha yang dilakukan untuk menambah dana yang ada walau pun sedar ia bukanlah mudah. Beliau turut melahirkan harapan supaya peruntukan bagi tujuan R&D kepada IPT dipertingkat dalam bajet kerajaan akan datang.

"Saya memberi komitmen dan akan menyokong untuk meningkatkan dana yang ada, namun pada masa yang sama mengharapkan universiti dan industri mencari jalan terbaik untuk mengangkat penyelidikan negara ke tahap yang seterusnya dan mencari dana-dana yang lain untuk menjayakan usaha ini," jelas Menteri Pendidikan II itu lagi.

140614-6

Sebelum itu, Idris turut menjadi  salah seorang ahli panel dalam forum industri bertajuk Peranan Universiti Sebagai Pendorong R&D Dalam Industri Tempatan yang dipengerusikan oleh pengacara sebuah stesen TV tempatan dan alumni USM, Sherkawi Jirim.

Turut menjadi ahli panel dalam forum itu ialah Pengarah Urusan Altera Corporation Technology Center Penang, Dato’ Mohd Sofi Osman; Pengarah Pusat Pendidikan Antarabangsa Universiti Teknologi Toyohashi Jepun, Profesor Atsunori Matsuda dan Perunding Teknologi Dolphin Group of Companies, Gregory L. Foster.

Menteri Pendidikan II itu yakin, Universiti Penyelidikan di negara ini akan terus memberi sumbangan dan impak besar kepada ekonomi negara terutamanya untuk mencapai taraf sebuah negara maju apatah lagi dengan kedudukan dalam penarafan dunia dalam kalangan 200 universiti terbaik dalam bidang-bidang Kejuruteraan dan Teknologi manakala USM menduduki tempat ke-28 dalam Sains Persekitaran.

"Saya gembira dengan kejayaan ini dan yakin kita mampu untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi pada masa hadapan," kata Idris.

Idris turut melawat pelbagai pameran yang diadakan di samping menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabaran Inovasi yang pertama kali diadakan dengan melibatkan lebih 200 orang pelajar sekolah dan kolej di sekitar negeri Pulau Pinang. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 982

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024