USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENARA ILMU TIDAK HARUS DIASINGKAN –MENTERI PENDIDIKAN II

IMG 8828

PULAU PINANG, 16 Jun 2014 – Universiti adalah sebuah entiti yang tidak boleh terasing atau tersisih dari masyarakat, malahan menara ilmu seharusnya menjadi tempat yang boleh diakses oleh masyarakat dari segenap lapisan.

Demikian kata Menteri Pendidikan II, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Seri Idris Jusoh, ketika mengulas keperluan Universiti untuk memberikan khidmatnya kepada komuniti, sekaligus meneroka peluang kolaborasi dengan pihak industri.

Katanya, jaringan komuniti dan perhubungan industri yang baik perlu diteruskan bagi meningkatkan kecekapan dan membantu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

140614-20

``Dengan ilmu, kepakaran dan modal insan yang ada dalam ekosfera sebuah Universiti, kesemua pihak perlu duduk bersama dan berusaha menjadikan Universiti dan industri sebagai pemangkin kepada kejayaan ekonomi negara.

``Ahli akademik dan industri juga dapat berkongsi sumber untuk meningkatkan kecemerlangan, sekaligus menyelesaikan pelbagai masalah bersama dan meneroka peluang baharu, menghasilkan produk baharu dan berkongsi kek ekonomi dunia sebaik mungkin,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir di Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Collaborative Research in Engineering Science & Technology Center (CREST) di sini baru-baru ini.

140614-21

Turut dimuatkan dalam majlis tersebut adalah penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara USM dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail dan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

CREST diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jaffri Ibrahim manakala Timbalan Ketua Pengarah MARA, Salmah Hayati Ghazali hadir bagi pihak MARA.

Idris juga berkata, melihat kepada kolaborasi USM dan CREST, ia sepatutnya menjadi contoh realistik atau model yang menggerakkan hubungan di antara ahli akademik dengan industri khususnya dalam bidang elektrik dan elektronik.

140614-22

``Apatah lagi dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah hub industri dunia, ia sepatutnya membuka lebih peluang untuk dimanfaatkan secara optimum melalui mekanisme ilmu pengetahuan dan kepakaran yang begitu besar bilangannya,’’ katanya.

Tambah beliau, kerjasama dengan MARA pula diharapkan dapat menzahirkan usaha pembangunan usahawan siswazah, selain menjadi platform dalam menyediakan sumber manusia profesional untuk keperluan masa hadapan negara.

Jelas beliau, negara seharusnya berupaya untuk membentuk graduan yang berorientasikan “job creator’’ berbanding hanya “job seeker’’, seperti yang banyak dibincangkan pada hari ini.

``Ini adalah satu cabaran untuk dihadapi bersama oleh semua pihak. Jika graduan kita berupaya untuk membangunkan peluang-peluang baharu dalma menjana pendapatan, maka kita tidak perlu gusar lagi dengan masalah kebolehpasaran graduan,’’ ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Omar pula berkata, MoA/MoU ditandatangan itu telah pun direalisasikan dengan pelbagai inisiatif dan sebagai contoh,  MARA banyak membantu USM dalam penawaran program Sains Perubatan KLE India.

MARA juga jelas beliau telah bekerjasama dalam mengadakan Kolej Persediaan untuk mendapatkan calon-calon yang berkualiti untuk melanjutkan pengajian di USM.

Usahasama dengan CREST pula dapat dilihat dalam memanfaatkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi USM bagi menyediakan matching grant industri melalui kolaborasi bersama-sama banyak industri dan syarikat yang terdapat di Pulau Pinang.

``Kolaborasi seumpama ini membukti betapa USM serius untuk melebarkan sayapnya melangkau sempadan yang ada dan sentiasa komited untuk menjayakan usaha memaknakan hubungan universiti dengan industri,’’ katanya. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1558

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024