PELAJAR TERUJA KEMESRAAN MENTERI PENDIDIKAN II
PULAU PINANG, Jun 2014 - Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris Jusoh gembira kunjungi semula kampus tempat beliau belajar dan mengunjungi bilik yang pernah didiaminya ketika mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di antara tahun 1977 - 1980.
Bercakap kepada pemimpin pelajar dan komuniti kampus dalam majlis minum petang di kediaman rasmi Naib Canselor (Anjung Jannatun), Idris yang memakai baju T Alumni USM berkata, beliau berbangga kerana pernah belajar di sini malah pernah menjadi pemimpin pelajar melalui Majlis Perwakilan Pelajar USM.
"Saya gembira kerana dapat melawat dan melihat semula bilik saya dahulu walaupun sekarang bertukar nombor dan Hilton telah menjadi desasiswa perempuan," katanya dalam ketawa ketika berucap kepada hadirin.
Beliau dahulunya tinggal di bilik 217 Desasiswa Permai di Blok 8 tingkat yang terkenal sebagai Hilton. Sekarang ini bilik tersebut dinomborkan semula dengan angka 209.
Dalam majlis tersebut, Idris turut bertemu dengan ahli-ahli Senat universiti, bertukar pandangan malah sempat berjumpa semua pelajar yang hadir sambil bergambar dan "berselfie" dengan mereka.
"Kami amat teruja dan tidak menyangka YB Menteri begitu mesra dan sudi bergambar dengan kami apatah lagi berbual mesra dan bertanya khabar," kata beberapa pelajar.
Mereka agak terkejut dengan sikap mesra dan turun padang ini dan berharap untuk mendapat peluang seperti ini lagi pada masa hadapan.
Hadir sama pada majlis ini ialah Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman dan isteri Datin Noraizan Jamaludin, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Shafiq Kamaruddin, Timbalan Ketua Pengarah MARA Salmah Hayati Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif CREST Jaffri Ibrahim serta ahli-ahli Senat USM. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1173