USM RANCANG PELAN PEMBANGUNAN PENYELIDIKAN BERSAMA UMSU
PULAU PINANG, 19 JUN 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia sedia berkongsi kepakaran melalui pelan pembangunan penyelidikan serantau antara kedua-dua universiti.
Melalui pelan pembangunan Penyelidikan yang direncana bersama kedua-dua universiti ia bakal memfokuskan kepada Penyelidikan Kearifan Tempatan untuk pembangunan bidang tersebut.
Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan mewakili Naib Canselor ketika perbincangan di majlis makan malam bersama pengurusan tertinggi UMSU berkata, USM mempunyai kepakaran dalam pembangunan Kearifan Tempatan ditambah dengan Indonesia yang mempunyai kekayaan ilmu dan amalan budaya tempatan yang mampu disebarkan untuk generasi kini.
“Indonesia amat dikenali dengan kepelbagaian adat, budaya dan amalan turun-temurun yang mampu diketengahkan untuk tujuan Penyelidikan. Justeru melalui perkongsian bersama dengan apa yang dimiliki USM ia mampu menyatukan adat budaya serumpun antara kedua-dua negara”
Turut hadir ke majlis makan malam tersebut adalah Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM dan Dr. Muhyarsyah, Mewakili Rektor Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU).
Tambah beliau, usaha USM tidak pernah terbatas hanya melibatkan penyelidikan sains dan teknologi, malah kita juga menitikberatkan pembangunan Sastera dan Tamadun keseluruhannya.
“Atas sebab itu USM cukup menghargai kesudian UMSU untuk bekerjasama dalam bidang tersebut kerana kita mempunyai banyak persamaan dari segi adat dan budaya, jadi ia mudah untuk UMSU-USM menjalankan Penyelidikan bersama”
Selain itu, Dr. Muhyarsyah, Wakil Rektor UMSU berkata pihak UMSU juga sedia maklum USM amat arif berkenaan isu bebas tembakau di dalam kampus melalui pelbagai program yang diadakan.
“Indonesia merupakan antara negara mempunyai bilangan perokok tegar tertinggi dan melalui kerjasama ini USM diharap dapat membantu menyelidiki kaedah sesuai untuk mengurangkan masalah tersebut”.
Tambahnya, tidak dinafikan antara punca pendapatan utama Indonesia adalah melalui penjualan rokok di negara tersebut.
“Tetapi jika dilihat kembali kos yang ditanggung Indonesia dalam merawat pesakit berpunca dari merokok adalah lebih tinggi dari penjualan rokok, rasanya pihak kami perlu membuat sesuatu”
Antara yang perlu dilakukan adalah meningkatkan kesedaran dan pendidikan yang dibawa di universiti dan UMSU amat berharap penyelidikan masalah tersebut dapat dijalankan bersama dengan tenaga pakar USM. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1195