SERBUK KACA SERAMIK BANTU KUATKAN SIMEN TULANG
PULAU PINANG, 20 Jun 2014 – Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan inovasi khas iaitu serbuk kaca seramik yang berupaya menambahbaik prestasi simen untuk proses penyembuhan tulang pesakit.
Dikenali sebagai Bon’ciment, produk yang dibuat menggunakan adunan kaca seramik berasaskan silika (pasir) dan batu kapur itu turut berpotensi besar digunakan dalam rawatan memasukkan implan dalam tubuh pesakit.
Ketua penyelidik Bon’ciment, Profesor Radzali Othman dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral berkata, Bon’ciment merujuk kepada simen tulang komposit (simen tulang gantian) hasil campuran seramik kaca bioaktif dengan simen tulang sedia ada.
Katanya, serbuk kaca bioaktif yang dihasilkan perlu dicampur dengan simen tulang sedia ada bagi menambahbaik kekuatan simen tulang gantian, sekaligus mengatasi beberapa kelemahan dalam penggunaan simen sedia ada.
``Dengan campuran sebanyak 5 gram Bon’ciment ke dalam simen tulang sedia ada, ia dapat mengoptimumkan prestasi simen tulang gantian, termasuk dalam melipatgandakan keliatan simen.
``Simen tulang gantian akan jadi jauh lebih liat dan ia membantu mengatasi masalah ketidaksepadanan tulang dengan implan, yang mengakibatkan pesakit berasa tidak selesa dan terganggu,’’ katanya.
Bon’ciment turut berupaya mengatasi masalah pengeluaran haba yang mana dalam semua keadaan pesakit yang menjalani rawatan berkaitan tulang, penggunaan simen akan menyebabkan pengeluaran haba (ketika proses pempolimeran).
``Bila ada haba, sel-sel yang berada di sekitar kawasan rawatan akan rosak dan mati. Masalah itu dapat diatasi dengan penggunaan Bon’cimet yang terbukti berkesan dengan pengeluaran haba yang begitu rendah,’’ katanya.
Tambah beliau, produk yang dibangunkan selama tiga tahun dengan kos berjumlah RM400,000 itu kini dalam proses kajian klinikal, setelah melepasi kajian awal makmal dan ujian terhadap haiwan.
Tambah beliau, Bon’ciment diharap dapat dikomersialkan selewat-lewatnya pada awal tahun depan setelah melepasi semua ujian termasuk ujian klinikal.
``Memandangkan produk ini memfokuskan kepada manusia dan berkait rapat dengan isu keselamatan dan kesihatan, justeru ia perlu melalui pelbagai ujian sebelum boleh dikomersialkan.
``Kita melihat unjuran pasaran adalah amat luas kerana ia terangkum semua kegunaan perubatan seumpamanya yang sedia ada,’’ katanya sambil memberi anggaran kos pengeluaran Bon’ciment adalah sekitar RM280.00 setiap 4 gram. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1415