USM TERIMA KUNJUNGAN RASMI DELEGASI IAIN ANTASARI
PULAU PINANG, 21 Jun 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus menjadi tumpuan pelawat antarabangsa apabila menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Antasari Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia di kampus induknya di sini hari ini.
Delegasi seramai 8 orang itu yang diketuai oleh Rektornya, Profesor Dr. H. Akh. Fauzi Aseri telah disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Muhamad Jantan serta beberapa pegawai utama universiti.
Dalam ucapan alu-aluannya, Naib Canselor USM telah mengalu-alukan kedatangan pelawat dari Indonesia itu, dan berkongsi sedikit latar belakang dan pencapaian USM sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan di negara ini dan juga statusnya sebagai Universiti APEX.
“Inilah kali pertama kami menerima kunjungan dari Rektor dan wakil-wakil Rektor dari IAIN Antasari, dan saya berharap kedua-dua pihak akan mengambil kesempatan ini untuk menerokai peluang-peluang yang mungkin untuk menjalin kerjasama dua hala dalam program pertukaran pelajar dan program akademik terutamanya yang menjurus kepada bidang pengajian Islam.
“USM dan IAIN Antasari harus mengenalpasti bidang-bidang nic tertentu dan kepakaran sedia ada yang boleh dikongsi bersama dan dikembangkan seterusnya untuk mewujudkan kerjasama serantau yang kukuh,” kata Naib Canselor USM.
Menurut Rektor IAIN Antasari pula, ada banyak perkara yang boleh dipelajari oleh IAIN Antasari daripada USM khususnya dalam bidang pengajian Islam transdisiplinari dan beliau berharap lawatan ini akan menjadi titik permulaan bagi jalinan kerjasama yang erat di antara kedua-dua institusi berkenaan.
“Adalah menjadi hasrat kami juga agar fakultas-fakultas di IAIN Antasari berpeluang mengikat kerjasama dengan pusat-pusat pengajian tertentu USM melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada masa-masa yang akan datang,” kata Rektor IAIN Antasari.
Hadir bersama ialah Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Profesor Madya Dr. Jamilah Ahmad; Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Profesor Madya Dr. Sofri Yahaya; Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Dr. Nor Malina Malek; Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh; Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Fauziah Ahmad;wakil-wakil dekan; wakil-wakil rektor; dekan-dekan fakultas dan ketua-ketua program pengajian.
Selepas sesi perbincangan, delegasi IAIN Antasari dibawa mengelilingi kampus induk USM menaiki Ecovan (kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik yang mesra alam) sambil menikmati kehijauan dan keindahan persekitaran kampus termasuk bangunan-bangunan dan kemudahan yang ada.
Mereka juga singgah sebentar di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh dan diberi taklimat tentang rancangan pengajian jarak jauh yang ditawarkan di USM oleh Timbalan Dekan (Akademik) Dr. Ku' Azam Tuan Lonik. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1096