MANFAATKAN RAMADHAN UNTUK PERKASA KEKUATAN ORGANISASI
PULAU PINANG, 25 Jun 2014 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk memanfaatkan ketibaan Ramadhan ini untuk memperkasakan kekuatan organisasi khususnya USM.
Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam perutusan khasnya kepada seluruh warga USM sempena ketibaan Ramadhan yang akan tiba dalam sedikit masa lagi.
"Ramadhan umpama satu institusi pendidikan jiwa dan rohani yang sangat penting, institusi pendidikan qalbu yang sangat bermakna yang berasaskan wahyu dan seolah-olah sebuah universiti yang jauh lebih bermakna dalam mendidik keseluruhan ummah untuk membuat muhasabah diri, membuat pembetulan diri malah juga menuntut penyucian diri dalam mencari keredhaan Allah s,w.t melalui pengukuhan hubungan sesama insan, hubungan kita dengan alam malah yang terpenting hubungan kita dengan Allah s.w.t.," kata Naib Canselor.
Tambahnya lagi, Ramadhan juga mengajar tentang peranan setiap kita dalam saling bantu membantu, saling kukuh mengukuhkan dan saling bekerjasama untuk membangunkan dunia yang sejahtera, menjayakan sesebuah organisasi dan institusi apatah lagi menegakkan syiar agama melalui usaha mengamalkan setiap ajarannya dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan dengan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.
"Inilah juga yang harus kita aplikasikan dalam membangunkan sesebuah organisasi dengan berteraskan kekuatan setiap anggota yang ada. Dalam setiap institusi, setiap orang dan anggotanya tanpa mengira apa jua jawatannya adalah sama penting kerana agama mengajar umatnya bahawa setiap seorang adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap apa dan siapa yang dipimpinnya," kata Omar.
Di Universiti misalnya terdapat Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor sebagai bahagian utama kepimpinan yang mengurus dan mentadbir segala sumber yang ada untuk mencapai hala tuju USM kita ini. Para pentadbir dan staf sokongan penting kerana perlu menyokong dan mengurus pelaksanaan dasar yang telah ditetapkan bersama dalam mencapai hala tuju tersebut.
Para pensyarah dan pelajar penting kerana perlu mengurus pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan mahu pun tugas-tugas lainnya dalam konteks ilmu dan sumber dengan cekap dan berkesan.
"Ini termasuklah juga sahabat-sahabat kita di pengurusan peringkat paling bawah yang sama pentingnya dalam mengurus dan mentadbir segala peralatan, kebersihan dan persekitaran yang ada. Dan begitulah seterusnya," kata Naib Canselor lagi
Omar juga mengingatkan bahawa tanpa mengira pangkat dan jawatan, semuanya adalah adalah pengurus-pengurus penting institusi, sesuai dengan fungsi yang telah Allah SWT tetapkan sebagai khalifatullah, pemegang amanah Allah untuk menguruskan dunia ini.
Istikhlaf (penugasan sebagai khalifah) itu merupakan fungsi asas kita dalam hubungan kita sesama manusia (hablum-minallah) dan hubungan kita dengan semua makhluk ciptaan Allah SWT (hablum-minallah). Jika kita dapat laksanakan sungguh-sungguh amanah pengurusan ini, Allah SWT akan kira semua pengurusan yang kita lakukan di USM ini sebagai ibadah, sebagai pengabdian kita kepada Allah SWT.
Ganjaran di sisi Allah SWT adalah cukup besar sekali. Sekiranya amanah pengurusan ini diabaikan, sesebuah institusi itu akan menjadi kucar-kacir dan melahirkan rasa ketidakpuasaan hati dalam kalangan ahli-ahli institusi disebabkan perbuatan tidak beramanah itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila amanah itu telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Lalu sahabat bertanya: Bagaimana mensia-siakannya? Rasulullah SAW menjawab: Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang yang bukan ahli, maka tunggulah saat kehancurannya (Riwayat al-Bukhari, Hadith No. 59).
"Tiga perkara penting yang perlu disedari dan dijadikan amalan oleh seluruh warga sesebuah organisasi ialah pertama, dalam mengurus organisasi seperti USM ini, kita semua adalah penting, tidak kira apa jua jawatan kita, kerana itu kita kena mengakui dan menghormati peranan, kepakaran dan bidang kuasa masing-masing, hatta walaupun kepada peranan, kepakaran dan bidang kuasa seorang.
Kedua, secara tabii', kita semua adalah pengurus yang dikehendaki oleh Allah SWT menjadi wakil-Nya untuk mengurus dunia ini amnya, dan untuk mengurus USM khususnya dan fungsi kita sebagai pengurus ini kena kita tunjangkan kepada fungsi kita sebagai hamba Allah SWT dan yang ketiga, untuk menjalankan fungsi kita sebagai pengurus dan hamba Allah SWT dengan baik, khususnya dalam mengurus USM ini, kita kena mempunyai tiga kekuatan utama iaitu kekuatan iman dan takwa; kekuatan ukhwah dan kekuatan dalam keselarasan dan kesefahaman,' tegas Naib Canselor.
Beliau yakin, ketiga-tiga kekuatan ini adalah tapak yang betul dalam kita menuju puncak kecemerlangan dalam usaha mencapai kecemerlangan organisasi seperti USM dengan kecemerlangan peribadi masing-masing.
"Dalam keadaan ini, kita boleh berkorban apa sahaja kerana yakin dengan ganjaran yang Allah SWT akan kurniakan kepada kita. Walaupun sekarang kita tidak dapat memenuhi kepentingan peribadi masing-masing, di akhirat nanti pasti Allah SWT akan ganjarkan dengan kurniaan yang lebih besar dan indah, InsyaAllah," kata Naib Canselor
Naib Canselor mengucapkan selamat menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadhan kepada seluruh warga USM, staf, mahasiswa, alumni serta semua sahabat USM.
"Selamat menghadapi ibadah Ramadhan nanti dan saya menyeru diri saya dan saudara-saudari sekalian untuk bersama-sama menjayakan amanah Allah s.w.t ini dalam memacu kecemerlangan universiti kita serentak dengan memastikan usaha yang dilakukan itu mendapat barakah Allah s.w.t.," kata Omar.
Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1177