USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BAKAL TAWAR SARJANA SAINS FORENSIK

270614-3

PULAU PINANG, 26 Jun 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan menawarkan program Sarjana Sains Forensik bermula pada sidang akademik 2015/2016, setelah berpengalaman selama 15 tahun mengendalikan kursus tersebut di peringkat ijazah sarjana muda.

Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kursus tersebut yang telah pun mendapat kelulusan untuk dilaksanakan akan diperkenalkan dalam mod campuran oleh Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, rentetan daripada kerjasama erat yang dijalin dengan Jabatan Kimia dan Jabatan Forensik, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysia.

Katanya, USM berkeupayaan dalam menjalankan kursus tersebut dan komited untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, bertepatan dengan keadaan semasa yang menuntut prestasi lebih tinggi khususnya dalam hal ehwal penyiasatan forensik.

DSC 1065

“Kolaborasi bersama Jabatan Kimia dan Forensik akan diperkemas dengan mewujudkan lebih banyak peluang melibatkan latihan staf di jabatan tersebut dan juga di USM.

“Tambahan pula bidang Sains Forensik kini menjadi lebih kritikal dalam aspek perundangan dan negara perlu bersiap sedia untuk melatih tenaga penyelidik yang boleh diklasifikasikan sebagai pakar dengan kelayakan akademik yang cemerlang,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangan memorandum perjanjian dan persefahaman (MoA/MoU) dengan Jbatan Kimia dan Jabatan Forensik, MOSTI, di sini hari ini.

DSC 1076

Hadir mewakili Jabatan Kimia ialah Ketua Pengarahnya, Ahmad Ridzuan Ibrahim. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey dan pegawai-pegawai utama kedua-dua pihak.

Dalam pada itu,Ahmad Ridzuan pula berkata, pihaknya turut komited menjalin usahasama dengan USM memandangkan keupayaan dan komitmen yang ditunjukkan universiti tersebut dalam kolaborasi yang dijalin sejak tahun 2000.

Katanya, kedua-dua pihak mempunyai persefahaman yang kuat untuk meningkatkan pencapaian bidang forensik negara dan bersedia untuk memenuhi tuntutan semasa ke arah menjaga kredibiliti dan prestasi badan tersebut khususnya dalam aspek kajian dan penyelidikan.

“Kalau boleh kita mahu menyediakan satu keadaan yang mana modal insan yang berkecimpung dalam bidang ini diperlengkapkan dengan kelayakan akademik sehingga ke peringkat kedoktoran bagi menjamin kualiti dan kebolehpercayaan sesuatu kajian.

270614-4

“Itu tidak bermakna kakitangan sedia ada tidak berkelayakan atau sebaliknya, cuma kita mahu meningkatkan lagi prestasi mereka, bersesuaian dengan keadaan yang mana setiap pelanggan ataupun pemegang taruh memerlukan segalanya (keputusan/maklumat) dalam kadar segera,’’ ujarnya.

Dalam pada itu,antara skop utama pemeteraian Moa/MoU tersebut adalah untuk kedua-dua pihakbekerjasama bagi projek-projek penyelidikan yang saling menguntungkan, termasuk dalam usaha penyiasatan bersama dalam pertukaran maklumat sains dan teknologi.

Ia turut melibatkan pertukaran bahan-bahan penyelidikan sains dan teknologi, penyelidikan dan pembangunan bersama, perkongsian amalan terbaik dalam penyelidikan dan pengurusan harta intelek dan pemindahan teknologi dan sebagainya. - Teks Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2119

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024