USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOKURIKULUM TINGKATKAN INTEGRITI DAN DISIPLIN

300614-1

PULAU PINANG, 28 Jun 2014 – Kegiatan kokurikulum terutamanya skuad pakaian seragam bukan sahaja dapat meningkatkan integriti para pelajar malah mendisiplinkan selain menanamkan semangat kesukarelawanan.

Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika berucap di Istiadat Perbarisan dan Penganugerahan Baden Powell (BP) dan Manikayu Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) Peringkat Kebangsaaan yang diadakan buat pertama kalinya.

“Kita perlu mendidik dan memastikan kefahaman terhadap nilai-nilai Rukun Negara diterapkan seluas-luasnya dalam kalangan pasukan pakaian seragam dalam mengekalkan, melestarikan malah memperkasakan keharmonian masyarakat dan negara,” seru Naib Canselor.

300614-2

Majlis perasmian dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas dan telah disaksikan oleh lebih 150 orang ahli pengakap dari 20 organisasi yang menerima anugerah daripada seluruh negara.

Anugerah BP dan Manikayu dianugerahkan kepada ahli-ahli KLKM yang menamatkan kursus berdasarkan silibus yang diiktiraf oleh Persekutuan Pengakap Malaysia dan Dunia.

Turut disampaikan adalah Anugerah BP terbaik lelaki dan wanita kepada Saudara Mohamad Anwar Tugimen dan juga Saudari Lee Hooi Hooi.

300614-3

“Seramai 40 juta orang adalah ahli pengakap dari 200 buah negara di seluruh dunia dan dengan angka ini mampu menjadikan pergerakan pengakap sebagai sebuah badan sukarelawan yang efektif dan berdaya maju,” kata Ketua Pengakap Negara Tan Sri Dato’ Seri Paduka Dr Hj Shafie Mohd Salleh.

DSC 1814a

300614-10

“Semua ahli yang mengambil bahagian telah berkampung di USM selama empat hari dan melalui pelbagai ujian praktikal dan kemahiran pengakap serta dinilai oleh panel penilai yang dilantik,” tambah beliau.  Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1186

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024