NIDA IKTIRAF PENSYARAH USM
PULAU PINANG, 3 Jul.2014 – National Institute on Drug Abuse (NIDA) International Program Awards of Excellence mengiktiraf dua tokoh akademik, salah satunya pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM) berikutan kecemerlangan mereka dalam penyelidikan dan kerjasama antarabangsa dalam bidang berkaitan dadah dan ubat-ubatan.
Pensyarah berkenaan, Profesor Madya Dr. Vicknasingam Balasingam Kasinather terpilih menerima anugerah 2014 NIDA International Program Awards of Excellence bersempena penganjuran 19th Annual NIDA International Forum di San Juan, Puerto Rico baru-baru ini.
Turut memenangi anugerah sama dari agensi di bawah pentadbiran Amerika Syarikat itu ialah Prof. Madya Marek C. Chawarski, pensyarah dari Yale School of Medicine, Amerika Syarikat.
Memetik kenyataan dari Pengarah Program Antarabangsa NIDA, Dr. Steven W. Gust, kedua-dua penerima diiktiraf berdasarkan kecemerlangan mereka menjalankan kajian terhadap individu-individu yang terlibat dalam penyalahgunaan amphetamines and candu (opiates) di Malaysia.
``Mereka turut menguji kesan ubat-ubatan dalam merawat ketagihan amphetamine bersama-sama terapi buprenorphine maintenance, selain melatih ahli-ahli terapi, kakitangan perubatan dan bukan perubatan untuk pendidikan HIV, kaunseling dan sebagainya,’’ ujar beliau dalam satu kenyataannya baru-baru ini.
Dalam pada itu, NIDA International Awards of Excellence memilih pemenang berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan bidang penyelidikan dadah dan ubat-ubatan yang selari dengan misi NIDA, termasuk dalam hal-hal berkaitan pementoran, kepimpinan antarabangsa, penyelidikan bersama dan sebagainya.
NIDA International Program komited bekerjasama dengan rakan-rakan strategik dari seluruh dunia untuk mencari penyelesaian berasaskan bukti bagi menangani masalah-masalah kesihatan awam berkaitan penyalahgunaan dan penagihan dadah serta jangkitan HIV/AIDS akibat gejala penyalahgunaan dadah. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ehsan Pusat Penyelidikan Dadah & Ubat-ubatan.
- Created on .
- Hits: 1033