USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JALIN KERJASAMA DENGAN INTI INTERNATIONAL UNIVERSITY AND COLLEGES

INTI

PULAU PINANG, 8 Julai 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) mengukuhkan hubungan dengan universiti swasta INTI International University melalui kunjungan rasmi Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Rahmah Mohamed dan beberapa orang pegawai kanannya hari ini.

Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman, dalam perjumpaan yang diadakan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada melalui hubungan pengantarabangsaan bersama dan mengambil bahagian dalam  Laureate International University yang merangkumi pelbagai institusi pengajian tinggi merentasi lebih 30 buah negara di samping hubungan akademik dalam kalangan lebih 80 buah universiti dalam rangkaiannya.

Hadir sama dalam perjumpaan itu mewakili USM ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah, Pusat Pembangunan Perniagaan, Keusahawanan dan Pengurusan Risiko (CBER), Datin Dr. Joriah Muhammad dan Ketua Operasi Pejabat Sains@USM, En. Izam Fairus Kamaruddin.

Omar turut mengalu-alukan pelantikan Naib Canselor baharu INTI International University, Profesor Dato' Dr. Rahmah Mohamed yang memulakan tugasnya pada 1 Mei lalu dan berharap agar beliau dapat memacu universiti mencapai kecemerlangan pada masa hadapan. Rahmah sebelum ini adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hadir sama mewakili INTI International University ialah Ketua Pegawai Operasi Inti International University & Colleges, En. Rohit Sharma, Ketua Eksekutif Inti International College Penang Dr. Michael Yap Sau Moi dan Pengurus Pentadbiran Inti International College Penang Jeremy Toh.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menjalin perkongsian pintar dalam penggunaan perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di Kampus USM terutamanya Kampus Penyelidikan USM di Sains@USM.  INTI mempunyai cawangannya berhampiran Kampus Penyelidikan Sains@USM.

Kedua-dua pihak dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tentang kerjasama ini apabila perancangan yang dibuat dapat dimantapkan dalam masa yang terdekat. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Izam Fairus Kamaruddin​

  • Created on .
  • Hits: 1112

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024