USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JALIN KERJASAMA DENGAN YAYASAN PULAU ORANG UTAN BUKIT MERAH DAN YAYASAN PULAU BANDING

090714-1

PUTRAJAYA, 10 Julai 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah dan Yayasan Pulau Banding hari ini untuk menjalankan penyelidikan dan usaha mendidik masyarakat untuk lebih menghargai khazanah utama negara iaitu orang utan serta flora dan fauna di Hutan Hujan Belum sekitar Pulau Banding.

Dokumen persefahaman ditandatangani oleh Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman bagi pihak USM manakala Yayasan Orang Utan diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Orang Utan Dr. D. Sabapathy manakala Yayasan Pulau Banding diwakili oleh Pengerusi Yayasan Pulau Banding Dato’ Profesor Emeritus Dr. Abdul Latif Mohamad.

Kedua-dua Yayasan turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Universiti Kebangsaan Malaysia yang diwakili oleh Naib Canselornya Profesor Dato' Dr. Noor Azlan Ghazali Ahmad.

Hadir menyaksikan penandatangan persefahaman tersebut ialah Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah dan Penasihat Yayasan Pulau Banding, Tan Sri Datuk (Dr.) Hj Mustapha Kamal Bin Hj Abu Bakar.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Profesor Dato' Dr. Asma Hj. Ismail, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan serta pegawai-pegawai tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam ucapannya, Tan Sri Datuk (Dr.) Hj Mustapha Kamal Bin Hj Abu Bakar berkata, negara kita patut berbangga dengan khazanah yang ada iaitu orang utan dan khazanah flora dan fauna yang berusia lebih 130 juta tahun.

"Tujuan utama kita ialah untuk melakukan pemuliharaan, pemulihan, penyelidikan dan pendidikan dalam hal yang berkaitan pentingnya menjaga khazanah seperti orang utan ini yang semakin pupus dan usaha memastikan pemuliharaannya yang bermula kira-kira 14 tahun lalu telah menunjukkan hasil dan kini perlu diperkasakan dengan usaha penyelidikan dan pembangunan melalui kepakaran USM dan UKM," kata Mustapha.

Beliau juga melahirkan kebimbangannya terhadap penerokaan dan perburuan haram di Pulau Banding yang sepatutnya dipelihara dan digunakan dalam proses mendidik masyarakat terhadap kekayaan Hutan Belum.

090714-2

"Walau atas nama menambah pendapatan, ia adalah tidak wajar dengan memusnahkan khazanah yang ada dengan nilai yang begitu kecil," kata Mustapha.

Kerana itu tambahnya lagi, kedua-dua yayasan mengharapkan kepakaran USM dan UKM dapat membantu melestarikan usaha yang dibuat terutamanya melalui penyelidikan.

Sementara itu dalam ucapannya Dato' Seri Idris Jusoh memberi jaminan bahawa pihaknya menyokong penuh usaha yang dibuat dan meminta agar USM dan UKM dapat merealisasikan usaha yang dibuat terutamanya melalui persefahaman yang ditandatangani.

Teks/Foto: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 850

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024