ARUJUNAN A/L KANDASAMY – CABARAN 38 TAHUN DI USM
PULAU PINANG, 10 Julai 2014 – Sekali pandang, mungkin tidak akan ada mana-mana individu yang berani menegurnya. Berbadan tegap, bermisai lebat pasti membuatkan rasa gerun hadir sewaktu pertama kali ingin berbicara mahupun bertentang mata.
Namun, itu bukan halangan besar buat anak jati kelahiran Green Lane, Pulau Pinang, bagi menonjolkan sisi lain dirinya, yang pastinya akan membuatkan pelajar, pensyarah atau staf berasa selesa untuk mendekatinya.
Itulah Arujunan a/l Kandasamy, 59, atau lebih dikenali sebagai Aru, Pengawal Keselamatan di Jabatan Keselamatan (JK) USM, yang telah setia berkhidmat hampir 38 tahun lamanya.
"Jika orang luar melihat penampilan dan fizikal saya, tentu mereka berkata sukar jika mahu berurusan, tapi apabila saya mula tersenyum, itu akan menjadi seperti satu magnet tarikan pada mereka," ujarnya berseloroh.
Bak kata pepatah melayu, hitam-hitam si tampuk manggis, sungguh pun gelap dipandang manis, Aru sebenarnya merupakan antara staf yang paling lama berkhidmat di Jabatan Keselamatan USM.
"Tanggal 25 Oktober 1976 adalah tarikh keramat buat saya, kerana ketika itulah saya mula menabur bakti, membina jasa dan mengerah keringat dan kudrat, membanting tulang empat kerat di bumi USM demi mencari rezeki menyara keluarga," katanya yang merupakan penyeri hidup keempat pasangan R.V. Kandasamy dan V. Govindomah.
"Kesusahan keluarga dimana melihat ayah hanya bekerja sebagai penjual susu lembu di jalanan dan ibu merupakan suri rumah tangga, cuba sebaik mungkin membesarkan kami 6 beradik, menjadikan saya lebih matang dan mengerti makna pengorbanan," kata Aru.
Selepas tamat persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor dan Sekolah Menengah Jelutong, Aru tidak membuang masa dan terus berikhtiar mencari pekerjaan bagi meringankan beban keluarga.
"Pekerjaan pertama saya adalah di sebuah syarikat perkapalan di Singapura, namun tidak kekal lama kerana ingin kembali ke tanah air untuk lebih dekat dengan keluarga," katanya yang selepas itu bertemu jodoh dengan suri pilihan hati, Veerasundary a/p Munusamy dan telah dikurniakan 3 orang cahaya mata.
Di USM, Aru memulakan kerjayanya sebagai pekerja am di Desasiswa Bakti, sebelum memohon untuk menyertai Jabatan Keselamatan USM pada tahun 1980 dan tugas pertamanya adalah di Bahagian Syif sebelum diserap ke beberapa seksyen yang lain bagi menimba ilmu dan pengalaman berlainan.
'Dan kini, saya sudah hampir 20 tahun bertugas di Seksyen Siasatan Risikan & Audit," katanya sambil menambah bidang kerja sekarang amat mencabar kerana memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi, tahap kesabaran yang maksimum dan tindakan pantas yang rasional.
Ditanya tentang antara pengalaman berharga sepanjang perkhidmatannya di JK USM, Aru tidak lokek berkongsi cerita dan kenangan pahit manisnya.
"Pengalaman manis apabila dapat membantu JK menyelesaikan pelbagai kes salah laku yang ditimbulkan banyak pihak termasuk orang awam yang menjadikan USM sebagai tempat yang dianggap selamat untuk aktiviti tidak bermoral itu."
"Walaupun berpuas hati apabila sesuatu kes dapat diselesaikan, namun ada yang dianggap kenangan pahit kerana ada kes yang juga melibatkan kematian, seperti kemalangan atau terjatuh dari tempat yang tinggi," ujarnya yang mengakui sedih setiap kali berhadapan dengan situasi sukar tersebut.
Aru juga menegaskan ada beberapa kes yang dilaporkan kepada JK, mereka akan meminta khidmat nasihat atau bantuan dari pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memastikan setiap siasatan atau tindakan yang diambil telah mengikut kaedah operasi yang ditetapkan (SOP).
"Ini penting bagi menjaga nama baik dan imej JK sebagai salah satu jabatan yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan penghuni kampus USM," tambahnya yang telah mengikuti pelbagai kursus keselamatan dari masa ke semasa.
Menyelami sebahagian lagi diri dan hidup Aru mengenai hobi, minat dan aktiviti masa lapangnya, Aru membongkar satu lagi sisi yang tidak ramai mengetahuinya.
"Saya amat aktif secara langsung dalam bidang sukan tinju dan bolasepak, terutamanya sewaktu zaman muda dahulu, dan sukan tinju merupakan bidang yang paling saya cintai dan curahkan lebih komitmen."
"Bersaing di gelanggang tinju membolehkan saya membina jati diri yang kukuh dan membentuk disiplin yang tinggi, di samping sentiasa dapat mengekalkan stamina dan mengamalkan gaya hidup sihat, dan semua ciri-ciri tersebut memang diperlukan apabila kita berkhidmat dalam pasukan keselamatan."
Sukan tinju sememangnya membawa tuah kepada Aru, dan memberi peluang kepadanya merantau ke beberapa negara Asean kerana pernah terpilih mewakili negeri dan negara ke beberapa kejohanan besar.
Mula mewakili negeri pada tahun 1976 sebelum terpilih mewakili Malaysia antara tahun 1979-1981, Aru menyifatkan peluang keemasan tersebut amat berharga buat dirinya.
"Antara beberapa pertandingan terhebat yang pernah saya sertai adalah di kejohanan Sukan SEA di Indonesia, Sukan Asia dan King's Cup di Thailand dan pencapaian terbaik saya adalah dengan memenangi pingat perak di Kejohanan Terbuka Singapura pada tahun 1979."
Kini, atas faktor usia, Aru banyak terbabit dalam program yang memerlukan curahan idea tentang kepakaran dan pengalamannya dan atas dasar itu, beliau dilantik sebagai pengadil/hakim di dalam Persatuan Tinju Antarabangsa dan pernah menghadiri beberapa siri kursus sehingga ke India, China dan Vietnam.
"Sejak 2010, saya juga telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Persatuan Muay Thai Pulau Pinang, Setiausaha merangkap Jurulatih bagi Persatuan Kabaddi Pulau Pinang dan merupakan Ahli Jawatankuasa PEMADAM Bahagian Barat Daya."
Oleh kerana bergiat aktif dan komitmen yang tinggi yang ditunjukkannya, Aru telah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan baik dari USM mahupun kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Antara anugerah yang diterima ialah Pingat Jasa Kebaktian pada tahun 2000 dan Pingat Kelakuan Terpuji dari kerajaan negeri pada tahun 2005 di samping telah beberapa kali menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari USM."
Dalam kesibukan menyelesaikan pelbagai urusan rasmi jabatan dan persatuan, Aru tetap tidak lupa menjaga kesihatan diri dan baginya, itu yang perlu diutamakan terlebih dahulu.
"Sentiasalah bersenam dan keluarkan peluh, walaupun dengan hanya berjalan kaki sekitar pejabat atau kawasan perumahan kita, kerana itu dapat membantu pengedaran darah yang baik ke seluruh tubuh badan."
"Janganlah dijadikan sebab usia yang semakin meningkat menyebabkan kita malas bersenam, kerana apabila sudah sakit atau uzur, semua nikmat yang dirasai, takkan berguna lagi."
Ditanya tentang perancangan selepas persaraan nanti, Aru menyatakan dia ada menerima beberapa tawaran dari rakan baiknya bagi menguruskan sebuah firma keselamatan, namun semuanya masih dalam perbincangan awal.
"Jika diikutkan hati, kudrat dan tenaga memang mengizinkan untuk saya terus bekerja, tapi kena bincang juga dengan isteri dan anak-anak, mana tahu mereka ada perancangan yang lebih baik untuk kami," katanya yang bersyukur kerana putera puterinya semua telah berjaya dalam hidup masing-masing. – Teks : Mohamad Danial Shahri/Foto : Mohd Fairus Md Isa / Arujunan Kandasamy
- Created on .
- Hits: 1380