JANGAN LUPA GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK DAN MEREKA YANG MENDERITA DI AMBANG PERANG, UJAR NC
NIBONG TEBAL, 10 Julai 2014 - Sempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini meluangkan masa menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Pusat Islam Kampus Kejuruteraan USM dengan kerjasama warga Kampus Kejuruteraan USM.
Hampir 300 tetamu jemputan yang terdiri daripada pengurusan tertinggi USM, ketua-ketua jabatan, dekan-dekan pusat pengajian Kampus Kejuruteraan, pegawai-pegawai universiti, AJK Aktiviti Ramadhan Kampus Kejuruteraan dan penduduk sekitar telah hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.
Dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ini, 40 orang anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nur Kasih Taiping turut diraikan pada majlis tersebut.
Agenda tahunan bersama Naib Canselor itu yang sememangnya dinantikan oleh warga kampus pada setiap Ramadhan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan ukhuwah dan silaturahim sesama warga kampus dan penduduk sekitar.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menyeru warga kampus agar terus mengukuhkan ikatan erat dan utuh serta menjadikan bulan Ramadhan sebagai insipirasi untuk meraih puncak kecemerlangan dan kejayaan demi merealisasikan misi dan visi Universiti.
Naib Canselor juga mengingatkan semua agar tidak lupa golongan yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, dan mereka yang ditimpa pelbagai musibah seperti bencana alam, kebakaran atau kehilangan orang tersayang.
“Jangan lupa juga mereka yang menderita dan sedang berada di ambang perang yang terpaksa berpuasa dan berbuka puasa dalam ketakutan akibat bedilan bom dan tembakan peluru. Mari kita terus istiqamah berdoa dalam setiap sujud akan keselamatan mereka,” kata Naib Canselor.
Naib Canselor berharap Kampus Kejuruteraan USM dapat terus memberi manfaat kepada penduduk sekitar terutamanya anak-anak muda dari kawasan kejiranan kerana beliau inginkan USM menjadi sebuah universiti yang bukan sahaja terkenal di seluruh dunia akibat keunggulan program akademik dan penyelidikannya tetapi juga sebuah universiti yang dapat berbakti kepada masyarakat sekitar dan relevan kepada keperluan komuniti setempat.
“Tahniah kepada Kampus Kejuruteraan yang berjaya melahirkan Saintis Minda Paling Berpengaruh Dunia dan mengharapkan kita mampu melahirkan lebih ramai lagi saintis yang mengharumkan nama universiti dan negara di persada dunia pada masa hadapan," tambah Naib Canselor.
Dalam majlis yang sama, para tetamu disajikan dengan tayangan video projek libatsama Universiti-Komuniti – Bekalan Air Bumi untuk Rumah Anak Yatim Nur Kasih di Ulu Sepetang, Taiping, Perak – sebuah projek komuniti yang diketuai oleh Professor Ir. Dr. Hj. Mohd Nordin Adlan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dengan bantuan dana daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pertubuhan Hal Ehwal Wanita (HELWA) USM, Pusat Islam Kampus Kejuruteraan dan juga pihak luar.
Naib Canselor turut menyampaikan sumbangan ramadhan kepada 40 orang anak yatim dari Rumah Anak-anak Yatim Nur Kasih Taiping, Simpang 3 Ulu Sepetang Taiping dan 15 orang penduduk sekitar yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Selain itu, Pengarah Pejabat Transformasi Insan USM, Dato’ Ustaz Haji Ellias Haji Zakaria telah menyampaikan tazkirah yang mengingatkan kita semua bahawa Ramadhan ialah bulan transformasi insan yang penuh dengan barakah, jadi manfaatkanlah ia sepenuhnya.
Naib Canselor juga menyertai para tetamu untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Antara pengurusan tertinggi USM yang hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan isteri, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dan isteri, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein, Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, Pengarah Pusat Islam USM Profesor Dato' Dr. Muhammad Idris Saleh, Ketua Unit Pusat Islam Kampus Kejuruteraan USM Ustaz Nazrul Hassan dan juga mantan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik) USM Profesor Dr. Baharuddin Salleh. - Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 840