USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA IKUT BANTU MAJUKAN KAMPUNG SELAMAT

10464303 10204291824080135 1338687746867019825 n

BUKIT MERAH, 12 Julai 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia membantu untuk bersama-sama MK Land memajukan Kampung Selamat yang berada berhampiran Lake Town Bukit Merah.

Demikian dimaklumkan oleh Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika memberi ucapan balas selepas diberikan taklimat kejayaan dan perubahan yang dibuat oleh MK Land yang menjadikannya kampung angkat sejak tahun 1995.

"Saya kagum dan mengucapkan tahniah kepada MK Land atas usaha yang mereka lakukan dengan memberi impak besar kepada pelajar terutamanya melalui proses pendidikan sehingga menghasilkan pelajar yang dapat melanjutkan pelajar ke luar negara," kata Omar.

USM juga akan mengadakan penyelidikan-penyelidikan yang perlu untuk melihat kejayaan yang dibuat selama ini dan bagaimana dapat turut serta dengan para pensyarah dan pelajar untuk merealisasikan usaha ini.

Tambahnya lagi, USM akan meminta para pelajar untuk turut serta turun padang dan kajian-kajian dilakukan bagi melihat kesesuaian kepakaran yang ada dengan keperluan setempat secara berterusan.

Kampung Selamat yang merupakan antara penempatan semula penduduk sejak tahun 1952 dengan penduduk asal sekitar 60 keluarga dan sekarang bertambah kepada kira-kira 150 keluarga adalah antara kawasan termiskin di Daerah Kerian satu ketika dahulu dan kini melalui fasa pembangunan pesat sejak dijadikan kampung angkat MK Land terutamanya dalam pendidikan.

Antara pelajar yang mencapai kejayaan yang hadir sama pada majlis ini ialah anak seorang pegerai roti canai di sini iaitu Mohamad Farid Iwan Abdul Raof 23, yang kini sedang mengikuti pengajian Kejuruteraan Mekanikal di Carleton University Canada setelah berjaya memperolehi UPSR 5A, PMR 8A dan SPM 7A1 2A2 1B3.

"Saya tidak pernah terfikir untuk berjaya sejauh ini apatah lagi dengan bersekolah di kawasan terpencil ini, tetapi mujurlah MK mengadakan kelas-kelas bimbingan secara berterusan berada di tahun empat maka saya boleh belajar ke Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum ke Kanada," kata Mohamad Farid Iwan.

Manakala adiknya pula Siti Nur Hazwani Abdul Raof, 19, turut mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR dengan mendapat 5A, PMR mendapat 8A dan SPM mendapat 8A+ 1A.

Siti Nur Hazwani kini mengikuti pengajian di Kolej MARA Kuala Nerang sebagai persediaan sama ada ke Australia atau New Zealand untuk mengikuti pengajian Kejuruteraan Kimia.

"Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan berterima kasih kepada MK Land yang membantu dalam pendidikan kami di sini," kata Siti Nurhazwani.

Selain dari mereka, seorang lagi pelajar di sini turut mencapai kejayaan cemerlang 10A dalam SPM tetapi tidak dapat hadir sama.

Rombongan USM yang diketuai Naib Canselor turut disertai oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat Profesor Madya Dr. Sofiman Othman, Profesor Dr. Mashhor Mansor serta beberapa orang pensyarah dan pelajar serta pegawai-pegawai USM dijemput melawat ke Toy Museum, Lake View College dan Pulau Orang Utan Tasik Merah.

Hadir menyambut dan memberi taklimat kepada rombongan USM ialah Pengarah Urusan Educate to Learn Sdn. Bhd, Azmil Khuzaid Zakaria serta pegawai-pegawai kanan Lake View College.

Khamis lalu USM menandatangani persefahaman dengan Yayasan Orang Utan Bukit Merah dan Yayasan Pulau Banding untuk bekerjasama dalam kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan tentang orang utan serta flora dan fauna di Pulau Banding. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1216

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024