YAYASAN USM TERIMA ZAKAT DARI BADAN AMAL DAN KEBAJIKAN MK
BUKIT MERAH, 12 Julai 2014 - Yayasan USM hari ini menerima sumbangan zakat sebanyak RM500,000 daripada Badan Amal dan Kebajikan MK untuk dimanfaatkan kepada para pelajar USM mengikut asnaf yang ditetapkan.
Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Pengerusi MK Holdings Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal Abu Bakar kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan sebelum majlis berbuka puasa di Surau Mustapha Kamal di sini.
Muhamad yang mewakili Naib Canselor di majlis tersebut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan daripada Universiti kepada pihak MK.
"Secara peribadi saya kagumi semangat, kesungguhan dan minat mendalam Tan Sri dalam menjaga ikon negara seperti Orang Utan dan khazanah alam di Royal Belum seperti mana kata Tan Sri dalam ucapan di Kementerian Pendidikan Khamis lalu yang berfokus kepada pemuliharaan, pemulihan, penyelidikan dan pendidikan – sesuatu yang seharusnya disokong oleh kita semua dan USM juga komited dalam menjayakan niat mulia ini," kata Muhamad.
Tambahnya lagi, USM memerlukan bantuan sokongan dalam melaksanakan tanggungjawab yang ada dan dengan sokongan seperti ini tentunya akan dapat membolehkan USM terus bergerak ke hadapan dan relevan dalam apa jua yang dilakukan bukan sahaja melalui sokongan dalam bentuk dana, tetapi juga lainnya akan dapat dilakukan secara berterusan pada masa hadapan.
Yayasan USM yang dipengerusikan oleh Pro Canselor Tan Sri Mustapa Mansur baharu ditubuhkan secara rasmi bertujuan mengumpul dana dari pelbagai pihak untuk dimanfaatkan oleh USM bagi menjalankan pelbagai usaha yang merangkumi penyelidikan dan inovasi, kebajikan pelajar mahu pun khidmat komuniti dalam jangka panjang serta usaha-usaha lain seperti mana yang ditetapkan dalam objektifnya. Yayasan USM dijangka dilancarkan secara rasmi pada hujung tahun ini. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1155