USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TEKNOLOGI KITA MAMPU SELESAI MASALAH MASYARAKAT

130714-1

PULAU PINANG, 13 Julai 2014 - Masyarakat dan negara perlu lebih percaya dan yakin kepada teknologi yang dihasilkan oleh saintis tempatan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang ada seperti untuk merawat air.

Demikian dinyatakan oleh saintis yang diiktiraf sebagai seorang daripada tiga saintis Minda Paling Berpengaruh Dunia, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad dalam satu rakaman program bual bicara Astro Awani di Pusat NADI USM yang dipengerusikan oleh Haji Nazri Kahar.

Profesor dalam bidang Kejuruteraan Membran dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia Universiti Sains Malaysia (USM) itu berpendapat, sampai masanya usaha dibuat untuk memastikan dan merealisasikan hasrat negara kita menjadi peneraju teknologi, bukan hanya semata-mata pengguna teknologi.

"Ambil contoh penggunaan teknologi membran dalam merawat air, sepatutnya kita boleh gunakan sepenuhnya di negara ini kerana telah mempunyai ramai pakar dalam bidang berkenaan di pelbagai universiti yang sepatutnya disatukan dan mencari jalan untuk menurunkan kos penghasilan teknologi ini sebagai penapis yang dapat menghasilkan air berkualiti kepada masyarakat dalam jangka panjang seperti yang dilakukan oleh negara jiran yang memanfaatkan teknologi ini lama dahulu," kata Abdul Latif.

Membran adalah teknologi penapisan paling halus dari molekul dan sel seumpama penapis biologi yang terdapat dalam tubuh manusia seperti peranan buah pinggang kita.

10423977 10204302660951050 71529373237821548 n

Menurut Abdul Latif, agak sayang kerana walaupun melakukan penyelidikan dengan pihak tertentu, hasilnya tinggal sebagai bahan di makmal dan jurnal, tetapi tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk masyarakat, apatah lagi ia tidak dikomersilkan dan dibuat susulan untuk memastikan ia dapat digunakan untuk tujuan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Ditanya tentang mengapa sukar hal ini dilakukan, Abdul Latif berkata, di negara maju pihak industri bekerjasama dengan kepakaran universiti untuk hasilkan teknologi yang kemudiannya diambil dan dimajukan sebaliknya di negara ini, pihak industri inginkan kejayaan yang cepat sedangkan sesuatu penyelidikan mengambil masa yang panjang untuk mendapat hasil yang diharapkan.

Abdul Latif meminta agar persepsi dan keyakinan masyarakat dan pelbagai pihak terhadap hasil penyelidikan tempatan dapat berubah kerana terdapat banyak hasil penyelidikan universiti hanya berakhir di makmal dan tersimpan dalam jurnal untuk tujuan rujukan akademik.

"Saya juga mengharapkan agar para pensyarah dan penyelidik muda yang ada dapat memanfaatkan persekitaran penyelidikan yang amat baik sekarang ini yang terdapat di negara ini termasuk dengan adanya pelbagai geran yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan, namun yang utama ialah ia seharusnya dapat digunakan di dalam masyarakat dengan impak yang tinggi kepada negara, termasuk berusaha gigih agar dapat dikomersilkan," kata Abdul Latif apabila ditanyakan apakah harapannya terhadap para penyelidik muda untuk berjaya pada masa hadapan. - Teks/Foto: Mohamad Abdullah​

  • Created on .
  • Hits: 916

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024