MERAKYATKAN PENYELIDIKAN – USM CADANG LAKSANA SEORANG PROFESOR SATU PROJEK KOMUNITI
PULAU PINANG, 13 Julai 2014 - Hasil penyelidikan oleh kepakaran yang ada di universiti tempatan adalah untuk kegunaan masyarakat, dikongsi bersama dan dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup dalam pelbagai bidang agar sentiasa relevan dengan keperluan negara.
"Setelah usaha penyelidikan di universiti kita secara formal diiktiraf termasuk dengan adanya Universiti Penyelidikan di negara kita, maka sekarang adalah masanya untuk hasil-hasuil penyelidikan ini dibawa ke dalam masyarakat dan dikongsi bersama melalui pelbagai produk yang dihasilkan," kata Profesor Dato' Dr. Omar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
Bercakap dalam rakaman program bual bicara Analisis Awani untuk Astro Awani yang dibuat di Pusat NADI USM dengan dipengerusikan oleh Haji Nazri Kahar, Omar berkata, USM sendiri misalnya telah memastikan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) yang diwujudkan melalui inisiatif bersama-sama Kementerian Pendidikan mempunyai dasar khusus yang berkaitan dengan Libat Sama Komuniti, dengan memastikan hasil-hasil penyelidikan universiti dapat dibawa ke tengah masyarakat.
Tambahnya lagi, USM juga mempunyai pelbagai mekanisme melalui pelbagai pusat penyelidikan yang ada untuk membawa ilmu yang berasaskan penyelidikan ini dapat diketengahkan secara langsung kepada orang ramai termasuk menyediakan van-van bergerak untuk mendidik masyarakat misalnya untuk tenaga yang diperbaharui dan teknologi hijau mahu pun pergigian dan perubatan, bukan semata-mata perkhidmatan tetapi perkongsian hasil usaha yang kita lakukan.
USM sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Melaka dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk melaksanakan Program Teknologi Hijau dan baru-baru ini menandatangani persefahaman dengan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah untuk menjalankan kajian saintifik menyelamatkan spesies orang utan yang sedang pupus serta dengan Yayasan Pulau Banding untuk menjalankan kajian saintifik tentang flora dan fauna untuk faedah masyarakat yang terdapat di Hutan Hujan Belum.
Menurut Omar, USM berhasrat pada masa hadapan untuk mendorong melaksanakan projek misalnya Seorang Profesor Satu Projek Komuniti dalam jangka panjang yang secara langsung dapat mendorong ahli-ahli akademik turun padang memanfaatkan ilmunya untuk faedah masyarakat.
"Tidak semestinya profesor, setiap ahli akademik kita akan diberikan dorongan berbuat demikian dengan insentif-insentif tertentu yang boleh diberikan kepada mereka sesuai dengan minat penekanan terhadap kepelbagaian disiplin ilmu yang ada," kata Omar.
Ditanya tentang bagaimana untuk mengekalkan bakat yang ada di universiti bagi mengekang mereka dari meninggalkan universiti dengan segala pengiktirafan dan kepakaran yang ada, Naib Canselor USM itu berpendapat, hal ini perlu dilihat dengan teliti dan mencari kaedah yang sesuai untuk kita sendiri mengiktiraf apa yang mereka hasilkan.
"Saya amat berharap pihak kerajaan, agensi-agensi yang ada mahu pun masyarakat melihat kepentingan mereka ini dan relevannya dengan usaha yang mereka lakukan untuk masyarakat dan negara yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita," tambah Omar.
Beliau turut mencadangkan agar untuk Rancangan Malaysia yang akan datang, kerajaan dapat mewujudkan dasar penggunaan kepakaran tempatan dan meminta pihak industri misalnya benar-benar bekerjasama dengan kepakaran yang ada untuk usaha Penyelidikan dan Inovasi.
"Kita tahu, ahli-ahli akademik kita sememangnya sangat berharap yang kepakaran mereka dapat dikongsi bersama, bukannya sekadar untuk tujuan akademik, penulisan dan penerbitan jurnal, sebaliknya memanfaatkan hasilnya untuk faedah orang ramai seperti yang dilakukan oleh USM dalam menghasilkan air bersih untuk masyarakat orang asli dan beberapa projek lain melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat," tambahnya lagi.
Katanya lagi, USM berhasrat untuk terus berusaha merakyatkan dan memasyarakatkan hasil penyelidikannya serta mendidik agar para pensyarah dan penyelidik sentiasa mempunyai jiwa masyarakat dengan melakukan perancangan yang sistematik dan berstrategi jangka panjang. - Teks/Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1106