WESTERN DIGITAL SUMBANG PERALATAN PERUBATAN UNTUK IPPT
BERTAM, 10 Julai 2014 - Western Digital Malaysia (WDM), sebuah syarikat pengeluar komponen komputer telah menyumbangkan peralatan perubatan sokongan kepada Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.
Sumbangan menerusi Program “WD Caring Foundation” (WDCF) itu telah disampaikan oleh Pengurus Sumber Manusia WDM, Mohd Fitri Khairudin kepada Pengarah IPPT, Profesor Abd Aziz Tajuddin di Lobi Kompleks Penyelidikan Klinikal (CTC), IPPT, USM.
Mohd Fitri berkata, sumbangan berkenaan melambangkan komitmen WDM sebagai korporat yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja kebajikan di Malaysia.
“Pemilihan IPPT USM sebagai penerima sumbangan adalah kerana rekod kecemerlangan yang ditunjukkan institusi ini dalam memberi khidmat penjagaan kesihatan,” katanya.
Beliau juga berkata, orang ramai turut digalakkan untuk bersama-sama meneruskan usaha menyumbang bagi membantu pesakit miskin yang memerlukan sokongan bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Dalam pada itu, program berkenaan adalah projek kedua Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan Sokongan yang di uruskan oleh Unit Kerja Sosial Perubatan IPPT.
Peralatan-peralatan berkenaan akan ditempatkan di Unit Kerja Sosial IPPT khusus bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan membeli kemudahan peralatan tersebut. Antara peralatan yang disumbangkan adalah Standard Wheelchair, Oxygen Concentrator, Suction Pump, Ripple Mattress, Elbow Crutch Adult, Crutches & Walking Frame yang di anggarkan bernilai RM 12,000.00.
Majlis ringkas tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Klinikal, Dr. Muhammad Yusri Musa, Pengurus Kanan (Perubatan & Penyelidikan Klinikal), Dr. Eshaifol Azam Omar, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Encik Mohd Razmy Mohd Yusof, Pegawai Penerangan, Encik Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid serta beberapa kakitangan IPPT dan Western Digital Malaysia.
Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan Sokongan adalah sebuah usahasama yang strategik di antara pihak Pertubuhan Pesakit Parah Miskin Malaysia, WDM dan IPPT USM.
‘WD Caring Foundation’ (WDCF) dibiayai oleh Western Digital (M) Sdn. Bhd dan disokong oleh kakitangan WD dari pelbagai peringkat jawatan di dalam organisasi.
Mereka secara sukarela membantu untuk kerja-kerja kemasyarakatan dan perkhidmatan. Yayasan ini diwujudkan bertujuan untuk mendekati semua kaum dan keutamaan diberikan kepada bidang pendidikan, kesihatan dan kemanusiaan.Teks / Foto : Faisal Jamaludin (IPPT)
- Created on .
- Hits: 1174