RAMADHAN DI PERANTAUAN
PULAU PINANG, Julai 2014 - Masjid Al-Malik Khalid di Universiti Sains Malaysia (USM) sering dikunjungi masyarakat tempatan dan antarabangsa terutamanya mereka dari komuniti USM yang berkumpul untuk berbuka puasa dan solat bersama-sama di bulan suci Ramadhan pada setiap tahun.
Mahnaz, seorang suri rumah dan ibu kepada dua orang pelajar, berkata lebih senang menjalani ibadah puasa di Malaysia berbanding di Iran kerana waktu berpuasa di sini lebih singkat jika dibandingkan di Iran yang mana mereka perlu berpuasa selama 17 jam selain mempunyai musim panas yang sangat panas.
“Sudah empat tahun saya dan keluarga menyambut Ramadhan di sini dan saya sangat menikmatinya. Kami sudah terbiasa dengannya,” tambahnya.
Hamid, 41, pelajar PhD dalam Psikologi berkata, “Ramadhan adalah bulan untuk kita mendekati golongan memerlukan dan miskin selain dapat membantu menebus dosa serta mencari keampunan dari Allah. Makanan manis, zolbia dan bamieh yang sukar dicari di Malaysia juga diedarkan di masjid-masjid semasa berbuka puasa.
“Di Iran, kami terus bersolat selepas azan dan seterusnya berbuka puasa dengan kurma dan air suam. Kami kemudiannya tunggu sebentar sebelum menjamah juadah utama.”
“Acara keagamaan di Malaysia disambut dengan meriah dan pengalaman menikmati setiap majlis tersebut menjadikannya lebih bermakna, terutamanya tradisi rumah terbuka Malaysia yang unik dan memberikan sentuhan suasana riang perayaan,” tambah Hamid merujuk kepada sambutan Hari Raya.
Apabila ditanya tentang juadah tempatan yang disediakan sepanjang Ramadhan, Hamid kagum dengan pelbagai jenis makanan yang terdapat di Malaysia terutamanya sepanjang Ramadan.
Tambahnya, “Ia sangat enak tetapi juga pedas dan kebanyakan orang Iran tidak biasa dengan makanan sebegitu. Walau bagaimanapun, mereka beransur-ansur terbiasa setelah beberapa kali mencuba.”
Seperti di Malaysia, Polis Islam Iran juga tegas menguatkuasakan peraturan ‘dilarang makan, minum atau merokok’ di tempat awam seperti restoran, tempat kerja, sekolah dan universiti sepanjang Ramadhan.
“Pada pagi Hari Raya, rakyat Iran memulakan pagi dengan bersolat di masjid dan menikmati sarapan istimewa yang dipanggil Halim or Aash di masjid. Kami dijemput ke rumah-rumah orang tua kami seperti datuk nenek untuk meraikan perayaan dan kemudiannya membawa anak-anak ke tempat-tempat berhibur seperti taman rekreasi, sarkas atau pusat hiburan kerana Raya bertembung dengan cuti musim panas bagi kanak-kanak sekolah dan pelajar universiti. Stesen-stesen radio dan televisyen juga akan memutarkan lagu-lagu perayaan,” kata Hamid.
- Terjemahan: Suhaili Mohd Zaini/Teks: Mina Seifi/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1023