PROMOSI NRIC 2014 DIPERLUAS DI SEKITAR PULAU PINANG
PULAU PINANG, 16 Julai 2014 – Sekretariat Novel Research and Innovation Competition 2014 (NRIC 2014) dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan promosi secara besar-besaran di beberapa buah sekolah di sekitar Pulau Pinang, di sini hari ini.
Jelajah yang disertai oleh 18 orang sekretariat NRIC itu dibuat bagi menarik lebih ramai peserta untuk menyertai NRIC, selain bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan NRIC kepada para pelajar di beberapa buah sekolah di sekitar Pulau Pinang.
NRIC 2014 akan berlangsung pada 19-22 Ogos ini di Dewan Utama Pelajar dan peserta yang memenangi anugerah NRIC berpeluang untuk bertanding di British Invention Show di London.
Kategori yang dipertandingkan dalam NRIC 2014 adalah Teknologi dan Kejuruteraan, Sains Asas, Sains Hayat, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sains Perubatan dan Kesihatan, Perubahan Sosial dan Seni Kreatif serta Komuniti Penyelidikan & Pertandingan Inovasi (CoRIC).
Antara sekolah yang terlibat termasuk di SMK Sungai Nibong yang mana kira-kira 45 pelajar sekolah berkenaan sangat teruja kerana diberi peluang mendekati sains melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pelajar USM.
Pameran bergerak yang berlangsung dari jam 9-10 pagi itu bermula dengan slot pertama iaitu pengenalan tentang NRIC dari Amirah Kamaliah Kamarul Zaman, slot kedua pula diadakan pertandingan kuiz dan seterusnya beberapa eksperimen yang mampu menarik minat para pelajar untuk berfikir dan mencuba.
Antara eksperimen yang dijalankan adalah dengan menggunakan belon yang disapu minyak dan ditekan pada paku payung tetapi tidak pecah.
Para pelajar menunjukkan reaksi kagum dan teruja ketika melihat eksperimen-eksperimen yang dijalankan dan kebanyakannya turut mencuba melakukan eksperimen tersebut.
“Saya gembira dapat melihat dan menambah pengetahuan tentang bagaimana eksperimen-eksperimen tersebut dijalankan,” kata salah seorang peserta program, Alia Maisara Mohamed dari kelas 5 Arif.
“Saya meminati subjek Fizik dan berminat untuk turut serta dalam NRIC,” tambah Alia.
Salah seorang Guru Kimia SMK Sungai Nibong, Jamuna Manivalan berkata, program sebegini sangat bagus dijalankan kerana ianya dapat memberi pengalaman kepada para pelajar untuk belajar sesuatu yang baru.
Tambahnya lagi, ianya lebih bagus sekiranya program seperti ini dapat dijalankan dalam tempoh yang lebih panjang seperti setengah hari misalnya kerana para pelajar dapat didedahkan dengan lebih banyak ilmu baru.
Sekretariat juga akan mengadakan siri jelajah yang sama di beberapa buah sekolah lagi termasuk SMK Hutchings, SMK Teluk Kumbar 1, SMK Bukit Gambir dan SMK Kepala Batas. Teks: Suhaili Mohd Zaini / Foto: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1071