USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAJIAN BAKTERIA BAIK USM DIIKTIRAF ANTARABANGSA

IMG 9847

PULAU PINANG, 17 Julai 2014 – Kajian berkaitan penggunaan bakteria baik dalam produk kesihatan dan aplikasi perubatan serta nutrisi dan pemakanan membolehkan dua pelajar ijazah doktor falsafah (Ph.D) Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf juri antarabangsa sebagai antara kajian terbaik yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Kedua-dua mereka, Tan Pei Lei, 28, dan Chuah Lee Oon, 30, menang tempat ketiga dalam anugerah berprestij peringkat antarabangsa, Young Scientist Award 2014 yang diadakan bersempena Persidangan Antarabangsa mengenai Mikrob Bermanfaat (ICOBM 2014) di sini baru-baru itu.

Kedua-dua mereka adalah pelajar dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), USM.

IMG 9859

Pei Lei membangunkan kajian yang secara relatifnya masih baru di negara ini iaitu penggunaan bakteria baik dalam mempercepatkan penyembuhan luka, terbukti 20 peratus lebih cepat dari penyembuhan secara normal.

Katanya, di negara ini penggunaan bakteria baik sering dikaitkan dengan minuman berkultur dan melalui pembacaannya terhadap potensi lain bakteria, beliau mendapat idea untuk menghasilkan bahan sapuan untuk mennyembuhkan luka.

``Luka jika tidak dirawat dan sembuh dengan cepat memberi peluang untuk kuman-kuman masuk dan merebak sehingga membawa kepada msalah kulit yang lain. Justeru, untuk mempercepatkan proses penyembuhan, ada bakteria baik yang boleh melakukannya.

``Kajian ini telah dijalankan dengan menguji kira-kira 200 bakteria baik sehinggalah wujud satu bakteria yang secara optimum dapat menyembuhkan luka 20 peratus lebih cepat dari penyembuhan normal,’’ katanya.

IMG 9820

Tambahnya, kajian tersebut telah dijalankan dalam tempoh tiga tahun dan bersedia ke fasa seterusnya iaitu kajian pembangunan produk.

Lee Oon pula berkata, beliau menjuruskan kajiannya dalam melihat risiko rintangan antibiotik dalam probiotik daripada produk makanan.

Katanya, probiotik adalah bakteria baik yang digunakan secara meluas dalam industri makanan untuk menghasilkan makanan seperti yogurt.

``Bakteria ini secara umumnya diiktiraf sebagai selamat dalam pemprosesan makanan. Walau bagaimanapun, probiotik yang digunakan dalam pengeluaran makanan didapati rintang terhadap pelbagai antibiotik dan keadaan itu adalah membimbangkan.

``Ini keranan jika ada bakteria yang rintang antibiotik, proses rawatan penyembuhan masalah kesihatan seseorang mungkin menjadi tidak begiru efektif,’’ ujarnya.

IMG 9875

Tambah beliau, kajian beliau menjurus kepada mengkaji penggunaan bakteria baik yang tidak rintang kepada antibiotik, sekaligus boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk makanan yang selamat untuk dimakan.

Turut hadir dalam sidang media khas tersebut adalah Dekan PPTI, Profesor Dr. Azhar Mat Easa dan Pengerusi Rancangan Teknologi Bioproses PPTI, Dr. Leong Min Tze.

Dalam pada itu, ICOBM 2014 yang berlangsung pada Mei lalu bertindak sebagai platform untuk pakar-pakar dari pelbagai bidang mikroorganisma berfaedah bagi tujuan berinteraksi dan bertukar-tukar idea penyelidikan.

Persidangan ini telah menarik 222 orang penyelidik, ahli akademik, profesional industri dan pelajar lepasan ijazah dari 24 buah negara. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1408

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024