USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAUTAN KASIH: USM AGIH MAKANAN BUAT GELANDANGAN

170714-20

PULAU PINANG, 17 JULAI 2014 – Sempena fasa akhir bulan Ramadhan Al-Mubarak, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil kesempatan mengagihkan kira-kira 500 bungkus makanan dan minuman buat gelandangan di sekitar Georgetown, Pulau Pinang awal pagi hari ini.

Sumbangan amal yang digelar Pautan Kasih Ramadhan bermula sekitar jam 1.00 pagi yang disertai oleh hampir 150 orang sukarelawan staf dan pelajar USM ke beberapa buah lokasi yang menjadi tempat persinggahan dan bermalam buat golongan gelandangan.

Sumbangan ini turut disertai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman yang bersama-sama mengedarkan makanan dan minuman bersama para sukarelawan.

170714-21

Menurut Naib Canselor, aktiviti amal ini seharusnya diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik demi kelangsungan kehidupan mereka.

“Sempena bulan penuh keberkatan ini, saya menyeru agar kita mengambil peluang bagi membantu golongan yang memerlukan supaya mereka tidak disisih dan bersama-sama merasai kegembiraan hari lebaran yang bakal berkunjung tiba,” katanya sebelum bergerak mengikut kumpulan di Masjid Al-Malik Khalid.

Turut hadir bersama ialah Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Prof. Dr. Adnan Hussein dan Prof. Dato’ Dr. See Ching Mey.

Tambah beliau, menjadi peranan universiti untuk bersama-sama masyarakat luar membantu apa yang dirasakan perlu agar ia saling melengkapi antara satu sama lain.

170714-34

“Saya sentiasa mengharapkan USM bukan sahaja melahirkan graduan yang berintelektual, malah mereka mempunyai ilmu mendekati masyarakat termasuklah menyumbang idea bersama agensi-agensi terlibat bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini”

Beliau juga turut berharap amal kebajikan yang dilaksanakan oleh universiti tidak terhenti setakat bulan ini sahaja, dan harus dilaksanakan semasa ke semasa.

Pada program tersebut Naib Canselor sempat berjalan bersama-sama sukarelawan bagi mengedarkan makanan di sekitar Jalan Chowrasta, Komtar, Jalan Penang, Lebuh Chulia dan Padang Kota yang menjadi tumpuan gelandangan.

“Bulan Ramadhan diharap menjadi pemangkin buat seluruh warga universiti untuk menerap sikap saling bantu-membantu dan bekerjasama seterusnya menabur bakti buat yang memerlukan di luar sana”

Program Pautan Kasih Ramadhan kali ini diselaraskan oleh Pejabat Naib Canselor, Jabatan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Pasukan USMaRT. Pusat Islam, MPPUSM, Sekretariat Sukarelawan Pelajar USM dan Sekretariat Ekspo Konvokesyen (ConvEX).

170714-35

Pada majlis yang sama, Penyelaras Program Pautan Kasih Ramadhan ke-2, Encik Khairul Eruwan Abdul Halim berkata majlis ini dimulakan dengan aktiviti gotong-royong di kalangan pelajar dan staf membungkus makanan di Pusat Islam seawal jam 10.45 malam di Pusat Islam, USM.

“Seperti tahun lepas, sejumlah 500 bungkus makanan dan minuman akan diedarkan bermula sekitar KOMTAR, Masjid Jamek Lebuh Acheh kemudian ke Hospital Besar Pulau Pinang dan seterusnya kembali ke Padang Kawad USM untuk sahur beramai-ramai”

IMG 9762

Katanya lagi, melihat kepada kejayaan tahun lepas dalam menganjurkan program ini membuatkan ia akan diteruskan dari tahun ke tahun sebagai salah satu aktiviti kebajikan universiti untuk masyarakat luar keseluruhannya.

Edaran makanan dan minuman berakhir sekitar jam 4.00 pagi dan semua warga kampus bergerak kembali ke Padang Kawad untuk majlis sahur beramai-ramai. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1286

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024