USM LANCAR TABUNG BANTU RAKYAT PALESTIN
PULAU PINANG, 17 Julai 2014 - Hati mana yang tidak tersentuh melihat imej-imej darah dan kecederaan yang tidak memilih mangsa di media saban hari – kanak-kanak dan wanita malang yang tidak berdosa, mereka yang terbunuh, ratapan anak kecil yang kehilangan ibu bapa, kesedihan mereka yang kehilangan keluarga dan jenazah yang dibawa ke liang lahad dalam episod malang Ramadhan ini.
Sehubungan dengan itu, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini secara rasmi melancarkan tabung untuk membantu rakyat Palestin dan menyelamatkan Gaza. Hal ini diumumkan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika Majlis Iftar Perdana Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) petang semalam.
“Saya merayu seluruh warga kampus, atas nama kemanusiaan dan keprihatinan kita kepada rakyat Palestin dan Gaza yang sedang diserang bertalu-talu, ancaman pembunuhan habis-habisan dan pelbagai wajah derita dalam peperangan untuk kita sama-sama memberikan sumbangan yang akan disalurkan kepada mereka – sama ada untuk tujuan pendidikan, perubatan mahu pun kehidupan lainnya, biar sekecil mana pun akan amat bermakna buat mereka,” kata Omar.
Semua pusat pengajian, pusat dan unit mahu pun jabatan yang ada di USM boleh memulakan kutipan dalam kalangan seluruh warganya dan menyalurkan kepada Pejabat Naib Canselor, Aras 6, Bangunan Canselori atau Pejabat Perhubungan Awam, Aras 2, Bangunan Canselori dan juga Pejabat Pemajuan dan Perhubungan Alumni, bersebelahan Anjung Budi pada atau sebelum 10 Ogos 2014 ini untuk tujuan penyelarasan.
“Saya juga meminta supaya kutipan ini dibuat oleh semua pihak termasuk staf, pelajar dan para alumni USM secara berterusan di samping melalui sumbangan di tabung-tabung Mesjid Al-Malik Khalid pada hari Jumaat setiap minggu sepanjang masa tersebut, dan di Pusat Islam USM di Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan,” tambah Omar lagi.
Dalam ucapannya semalam, beliau menegaskan betapa perlunya umat Islam prihatin dengan penderitaan dan kesukaran yang dilalui oleh mereka yang diduga dengan pelbagai musibah sama ada terlantar di katil hospital apatah lagi yang berada dalam suasana peperangan seperti di Palestin.
“Ini bukanlah isu umat Islam semata-mata tetapi isu kemanusiaan sejagat apatah lagi bagi mereka yang telah lama menderita di tanah air sendiri,” kata Omar.
Katanya lagi, kita yang berupaya menikmati juadah-juadah semasa berbuka puasa seharusnya bersyukur dan memanfaatkan Ramadhan ini untuk bermuhasabah dan meningkatkan amal ibadat, termasuk membantu mereka yang memerlukan. Teks/Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 869