USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAUTAN KASIH RAMADHAN - PAUTAN KASIH SAYANG BERSAMA GOLONGAN GELANDANGAN

170714-30

PULAU PINANG, 17 Julai 2014 - "Melihat kepada peserta dan sukarelawan yang hadir pada tengah malam ini, sudah cukup menerbitkan rasa terharu dan bangga dengan pengorbanan masing-masing."

Demikian perkongsian rasa yang dilontarkan oleh Profesor Dato' Dr. Omar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), pada pelancaran Program Pautan Kasih Ramadhan yang berlangsung semalam di perkarangan Pusat Islam USM.

Menurut Omar, program kali kedua yang dijalankan ini adalah hasil inisiatif dan penyelarasan oleh Pejabat Naib Canselor, Jabatan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) dan beberapa jabatan lain yang bersama-sama menggembleng tenaga bagi menjayakan usaha murni ini.

170714-31

'Diharapkan dengan sumbangan ikhlas USM yang berupa makanan dan minuman sebanyak 500 bungkus yang diagih-agihkan kepada golongan gelandangan di luar sana, akan dapat meringankan beban mereka yang kebanyakannya sudah agak berusia."

"Bukan sahaja golongan gelandangan, kita juga memberi sumbangan ini kepada penarik beca, keluarga pesakit yang menunggu di kawasan Hospital Pulau Pinang dan juga staf-staf yang bertugas syif malam di situ."

Tambah Omar lagi, dengan penglibatan hampir 150 orang pelajar, termasuk staf dan pensyarah, serta dikuatkan lagi dengan kehadiran kesemua Timbalan Naib Canselor, program seumpama ini dilihat berjaya mencapai objektifnya yang tersendiri.

170714-33

"Ribuan terima kasih tak terhingga kepada para pelajar yang sanggup mengorbankan cuti semester mereka, tidak pulang ke kampung halaman demi membantu Universiti merealisasikan hasrat seperti ini."

"Secara tidak langsung, program seumpama ini sebenarnya dapat memupuk kesedaran kepada semua agar sentiasa mengingati golongan yang lebih memerlukan di samping dapat membina kemahiran aktiviti sosial dalam diri masing-masing."

Semua peserta bergerak dari Pusat Islam menuju ke beberapa tempat yang telah dikenalpasti golongan gelandangan ini berkumpul seperti di Padang Kota, Jalan Penang dan Pasar Basah Chowrasta dan dipecahkan kepada beberapa kumpulan yang setiap satunya diketuai sendiri oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor.

Harapan melihat golongan gelandangan ini menikmati hidup yang lebih baik turut dikongsi Profesor Dato' Dr. See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM).

"Umum mengetahui golongan ini sebenarnya tidak meminta nasib mereka sebegini, oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab bagi kita yang berkemampuan membantu mereka sebaik mungkin."

170714-36

"Mereka ini sebenarnya lebih memerlukan perhatian dan kasih sayang, dan tempat tinggal yang bersih dan sempurna, kerana mereka juga insan biasa seperti kita," ujar beliau yang sehingga kini banyak terlibat dalam program-program kemasyarakatan.

Sementara itu, menurut seorang gelandangan yang ditemui di perhentian bas KOMTAR, Kam Kiam, 63, dia amat berterima kasih atas sumbangan dan keprihatinan yang dizahirkan warga USM.

"Saya sebatang kara di sini, saudara mara yang tinggal hanya seorang adik yang telah berkeluarga dan kini menetap di Kedah, dan saya tidak mahu menyusahkan dia," katanya ketika berbicara tentang kehidupannya kini.

Bekas mekanik yang juga berasal dari Pulau Pinang ini memilih untuk tinggal di situ kerana berdekatan dengan tempat kelahiran asalnya iaitu di belakang pasaraya GAMA.

170714-32

"Dahulu di kawasan ini memang ada ramai yang senasib saya, tetapi kini semakin berkurangan, mungkin telah ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat atau diambil semula oleh keluarga."

Ditanya tentang harapan untuk masa depannya sendiri, dia hanya mengharapkan melalui kehidupan yang lebih teratur berbanding sekarang.

"Saya sudah tua, tiada apa-apa permintaan istimewa melainkan ingin menghabiskan masa bergembira dengan kawan-kawan di sekeliling saya." - Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1112

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024