USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CERIAKAN PESAKIT KANSER KANAK-KANAK

20140717 111421

GEORGE TOWN, 17 Julai 2014 – Penderitaan yang dialami oleh pesakit kanser kanak-kanak sedikit terubat dengan kehadiran warga Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menyampaikan sumbangan duit raya dan hadiah di Hospital Besar Pulau Pinang hari ini.

Kehadiran Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, menyampaikan sendiri sumbangan duit raya kepada hampir 100 orang pesakit cukup menampakkan kegembiraan kepada mereka.

Program amal USM sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu Aidil Fitri serta lagu kanak-kanak oleh barisan kakitangan Pusat Pengajian Seni dan Dewan Budaya USM.

Alunan lagu-lagu yang diselaras oleh Profesor Madya Dr. Razif Mohd dan Ramnah Ramli bukan sahaja menarik perhatian pesakit, malah turut menghiburkan kakitangan hospital bertugas termasuk ibu bapa.

C360 2014-07-17-11-08-53-149 

See Ching Mey ketika ditanya selepas majlis sumbangan berkata, kita tidak mungkin dapat menyelesaikan penyakit kanser yang dialami kanak-kanak ini, tetapi sekurang-kurangnya kehadiran kita dapat memberikan motivasi dan semangat untuk mereka terus berjuang melawan kesakitan itu.

“Apa yang dilihat selepas memberikan sumbangan duit raya dan hadiah, termasuk diserikan dengan hiburan kepada mereka, jelas terserlah kegembiraan di wajah anak-anak kecil ini walaupun kita mengetahui mereka dalam penderitaan meneruskan kehidupan,” kata beliau.

Turut hadir ke majlis sumbangan ini adalah Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, USM, Tuan Syed Yusof Syed Kechik dan Penyelaras Program, Dr. Darshan Singh.

Beliau turut berkata, USM kini sedang berusaha dan bekerjasama dengan pihak Hospital merancang aktiviti pembelajaran di wad-wad terlibat bagi mengisi masa lapang pesakit yang terpaksa menginap di hospital dalam tempoh yang agak lama.

“Kita sedang berusaha mengumpul pelajar-pelajar USM secara sukarela untuk datang mengajar dan memberi ilmu berguna kepada mereka memandangkan pesakit ini tidak mampu untuk ke sekolah atas penyakit yang dialami.

“Pihak USM akan memaklumkan setelah persediaan rapi telah dibuat untuk menggerakkan aktiviti pembelajaran tersebut,” tambah beliau.

Pada majlis yang sama, Darshan Singh berkata beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program amal buat kali ketiga dan diharap ia akan berterusan di masa akan datang.

“Keunikan kali ini ialah selain menyampaikan sumbangan, pesakit dihiburkan dengan lagu-lagu hari lebaran bagi bersama-sama mereka merasakan sambutan Aidil Fitri bakal berkunjung tiba.”

“Memandangkan ia memberi impak positif dari tahun sebelum ini, kita akan cuba mengekalkannya untuk tahun-tahun akan datang,” katanya lagi.

Program tahun ini diselaraskan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat bersama Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Pejabat Komunikasi Strategik (SCOMM), Pusat Pengajian Seni dan Dewan Budaya, USM. - Teks dan Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar
  • Created on .
  • Hits: 1092

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024