USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BERDUKA - BAKAL PENSYARAH USM SALAH SEORANG PENUMPANG MH17

 

ali2

PULAU PINANG, 18 Julai 2014 - Berita pesawat Boeing 777 yang berlepas dari Amsterdam pada jam 12.15 tengah hari waktu tempatan semalam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.10 pagi hari ini dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, yang diberitakan ditembak dan terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia dan dunia seluruhnya malah juga seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM). 

Apatah lagi salah seorang penumpang dalam pesawat malang MH17 tersebut  adalah bakal seorang pensyarah USM yang sedang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang "Development Neuropsychopathology" di Erasmus University Rotterdam, Belanda, Mohd Ali Md Salim, yang dalam perjalanan pulang bercuti di kampung halamannya, Kampung Jayor, Pagoh Muar, Johor. 

Mohd. Ali yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-30 pada 10 September ini adalah anak keempat dari lapan beradik sedang mengikuti pengajian di bawah Skim Latihan Kakitangan Akademik (RLKA) Kementerian Pendidikan di bawah USM. Bapanya adalah seorang pesara Lembaga Pertubuhan Peladang. 

ali1

Menurut kakaknya, Nurzazila Md. Salim, adiknya menghubungi beliau sehari sebelum berlepas balik bertanyakan jika mempunyai sebarang barang untuk dipesan. 

"Selalunya ada sahaja pesanan saya, tetapi kali ini saya tidak meminta apa-apa sebaliknya mengharapkan dia balik dengan selamat," kata Nurzazila yang telah berada di hotel di Putrajaya  bersama ibu bapa dan keluarganya. 

Tambah Nurzazila, Mohd. Ali yang dijangka tamat pengajian pada tahun 2015 sangat rapat dengannya dan ibunya dan sering berkongsi sebarang masalah bersama. 

"Dia sangat meminati penyanyi Dato’ Siti Nurhaliza yang katanya walau pun Siti telah berkahwin, dia tetap meminatinya," kata Nurzazila dalam kesedihan bercerita tentang minat adiknya itu. 

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menzahirkan perasaan sedih yang teramat sangat atas tragedi ini dan meminta seluruh warga USM turut mendoakan untuk kesejahteraan semua. 

"Kita amat bersedih dengan tragedi pesawat MH17 ini dan marilah sama-sama kita berdoa agar semua pihak diberikan kekuatan menghadapi dugaan Allah s.w.t apatah lagi dalam kalangan keluarga yang terlibat," kata Omar. 

Beliau juga menyampaikan ucapan takziah dan dukacita yang teramat kepada keluarga Mohd. Ali serta semua mereka yang terlibat. 

"Kepada keluarga Mohd Ali, saya ingin merakamkan takziah dan kesedihan dari seluruh warga USM dan saya secara peribadi turut merasai kehilangan yang amat sangat apatah lagi allahyarham adalah pelajar yang cemerlang dan calon pensyarah USM nanti," kata Omar. 

Tambahnya lagi, USM sedia membantu apa jua yang boleh untuk meringankan tanggungan keluarga dan akan menghubungi keluarga Mohd Ali dari semasa ke semasa. 

"Kita semua berhadapan dengan dugaan besar dari Allah s.w.t pada bulan Ramadhan kali ini dan marilah sama-sama untuk terus berdoa dan tabah menghadapi dugaan-dugaan ini serta pada masa yang sama terus juga berdoa untuk saudara-saudara kita iaitu rakyat Palestin yang sedang berhadapan dengan serangan Israel," katanya lagi. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Tweeter dan Instagram  Mohd Ali Md Salim 

  • Created on .
  • Hits: 3924

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024