WARGA USM BERAMAL BAIKI RUMAH USANG
PULAU PINANG, 16 Julai 2014 – Puasa tidak menghalang lebih 30 warga Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memberi harapan baru kepada golongan memerlukan apabila bertungkus-lumus membaiki rumah usang milik warga kurang bernasib baik di Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Kesemua yang terlibat adalah para pensyarah, pelajar dan kakitangan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) khususnya dari program Pengurusan Pembinaan, Teknologi Bangunan dan Perancangan yang diketuai oleh Profesor Dr. Abu Hassan Abu Bakar.
Abu Hassan ketika ditemubual berkata, program itu dibuat khusus bagi membantu sebuah keluarga kurang berkemampuan yang hanya bergantung pendapatan daripada ketua keluarga yang bekerja sebagai nelayan, Mansur Taib, 60 tahun.
Mansur bersama isteri dan empat anaknya, berumur dalam lingkungan lapan hingga 14 tahun tinggal di sebuah teratak usang dek keranan tidak berkemampuan untuk membaikinya, apatah lagi membina teratak baru.
Abu Hassan berkata, walaupun tidak banyak keluarga yang dibantu, ia memberi satu pengalaman besar dan kepuasan kepada warga PPPBP yang terlibat, apatah lagi dapat memberi sinar baru kepada golongan kurang bernasib baik.
Katanya, program amal itu dibuat khusus bagi menyemai semangat kesukarelawan dan selari dengan aspirasi Universiti untuk berada dekat dengan komuniti melalui aktiviti-aktiviti sosial.
``Gotong-royong seumpama ini turut memberi peluang kepada para pelajar khususnya dalam menambah baik kemahiran di luar bilik kuliah dan mempraktikkan teori yang dipelajari ke suasana sebenar.
``Program ini juga selari dengan hasrat Universiti dalam mengukuhkan hubungan antara universiti dengan komuniti, yang mana kedua-dua pihak dapat beroleh manfaat yang sewajarnya,’’ ujar beliau.
Abu Hassan juga berkata, di sebalik keringat yang menitis, kesemua peserta bangga kerana objektif untuk memberi sedikit sinar buat keluarga tersebut untuk tinggal dalam kediaman yang lebih sempurna dapat dilaksanakan.
``Paling penting, ia turut menimbulkan kesedaran kepada para peserta mengenai kepentingan mensyukuri nikmat yang ada dan peka kepada keperluan orang-orang yang kurang bernasib baik di sekeliling kita,’’ katanya.
Tambahnya, program selama empat hari tiga malam itu telah dijalankan melalui pembiayaan geran Ad-Hoc Bahagian Jaringan dan Industri (BJIM) dan mendapat kerjasama dari Charity Club Langkawi (CCL).
CCL adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berperanan dalam memberi khidmat kemanusiaan bagi membantu golongan kurang bernasib baik di pulau yang terkenal dan sinonim dengan burung helang dan Mahsuri itu. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ehsan PPPBP
- Created on .
- Hits: 1073