PULAU PINANG, 18 JULAI 2014 – Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Islam (ISDEV) diseru agar dapat membantu universiti meningkatkan penerbitan dan penulisan Islam di dalam Bahasa Inggeris agar ia mudah disebarkan ke peringkat antarabangsa.
Melalui latihan dan kepakaran dimiliki oleh ISDEV yang semua tenaga pengajarnya memiliki Ph.D dalam pelbagai bidang pengajaran Islam, cukup dapat membantu universiti dalam menerbitkan pelbagai ilmu rujukan Islam kepada bahasa antarabangsa tersebut.
Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato' Dr. Omar Osman berkata melalui penerbitan tersebut ilmu dan penyelidikan yang dibuat oleh ISDEV mampu memasuki ruang antarabangsa sebagai rujukan utama yang berkaitan.
"Menjadi harapan universiti agar pelajar Pascasiswazah di bawah seliaan ISDEV dapat ditingkatkan bilangannya terutama pelajar antarabangsa jika sumber rujukan yang diterbitkan mudah difahami dan diikuti" ucap beliau ketika menyampaikan amanat ringkas kepada warga staf dan pelajar Pascasiswazah ISDEV di majlis berbuka puasa anjuran ISDEV.
Tambah beliau, universiti mempunyai Pusat Inovasi dan Pentadbiran Awam (PIPPA) yang dapat membantu ISDEV dalam merencana program dan modul latihan yang bersistematik untuk menambahkan penerbitan Islam dalam Bahasa Inggeris.
"Perancangan dan perlaksanaan yang teliti di antara ISDEV dan PIPPA mampu melonjak program latihan berterusan serta modul latihan yang sesuai di bawa ke peringkat antarabangsa"
Majlis berbuka yang diadakan di Dewan Utama Desasiswa RST kelmarin dimulakan dengan bacaan Tahlil disusuli dengan berbuka ringkas dan solat Maghrib berjemaah, seterusnya sajian jamuan makan.
Turut hadir adalah Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Muhamad Jantan dan Prof. Dr. Adnan Hussein, Pengarah Pusat Inovasi, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Islam (ISDEV), Prof. Muhammad Syukri Salleh dan pegawai-pegawai utama universiti.
Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor turut bersama-sama meluangkan masa menunaikan solat Isyak dan sunat Tarawih yang diimamkan oleh Ustaz Taha Omar sebelum meninggalkan majlis. Teks dan Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar
Created on .
Hits: 1049
Pusat Media dan Perhubungan Awam Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. | Web : www.usm.my