USM-SRI TUBUH MAKMAL BERSAMA UNTUK PENYELIDIKAN GETAH ASLI
PULAU PINANG, 17 Julai 2014 - Kolaborasi penyelidikan antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Sumitomo Rubber Industries (SRI) Jepun dalam bidang penyelidikan getah asli diperkukuhkan lagi berikutan penubuhan sebuah makmal tisu kultur khas di Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata makmal bersama tersebut yang dikenali sebagai ‘USM-SRI Joint Laboratory for Natural Rubber Research’ akan digunakan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan bagi penghasilan getah asli berkualiti tinggi secara lestari bagi menampung keperluan industri berasaskan getah.
“Ia juga merupakan makmal bersama yang pertama ditubuhkan di antara USM dengan SRI untuk tujuan penyelidikan getah asli, dan USM amat berbangga kerana dapat menjalin usahasama dengan sebuah syarikat luar antarabangsa yang terkenal seperti SRI,” kata Omar ketika berucap dalam majlis perasmian pembukaan makmal berkenaan di sini hari ini.
Omar juga menyifatkan kolaborasi universiti-industri seumpama ini sememangnya dialu-alukan oleh USM lebih-lebih lagi ia melibatkan perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi tinggi yang bukan sahaja dapat memanfaatkan USM dan SRI tetapi juga kedua-dua negara Malaysia dan Jepun khususnya dari segi peningkatan ekonomi negara.
“Saya berharap hasil penyelidikan yang dijalankan di makmal ini dan juga daripada kolaborasi bersama ini akan dapat memanfaatkan agensi-agensi yang berkaitan dengan penanaman getah seperti RISDA dan FELDA dan seterusnya menyumbang kepada industri getah asli negara,” katanya lagi.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Madya Dr. Ahmad Sofiman Othman turut merakamkan penghargaannya kepada pihak SRI kerana melalui kerjasama ini, makmal tisu kultur sedia ada telah dapat dinaiktaraf, diberi wajah baru dan dilengkapi dengan peralatan-peralatan baru yang canggih untuk tujuan penyelidikan.
“Kos penaiktarafan dan pengubahsuaian makmal dan kos pembelian peralatan baru adalah dibiayai oleh peruntukan dana penyelidikan projek USM-SRI bertajuk ‘Research and Collaboration on Biodegradable Plastics PHA Genes Expression in Hevea Tissue Culture’,” kata Ahmad Sofiman.
Tambahnya, menerusi penubuhan makmal ini juga, adalah diharap pelajar ijazah tinggi dan staf akademik yang terlibat dengan penyelidikan getah asli akan berpeluang meningkatkan kefahaman dan ilmu mereka dalam bidang penyelidikan yang berkaitan dengan kajian molekul dan bioteknologi tumbuh-tumbuhan.
“Bagi pelajar ijazah tinggi atau pasca kedoktoran pula, pendedahan mereka kepada pihak industri ketika melakukan penyelidikan bersama pastinya akan meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk mendapatkan pekerjaan kelak,” katanya.
Selain itu, Ahmad Sofiman juga menyifatkan kolaborasi strategik terbaru ini dengan rakan industri antarabangsa merupakan satu lagi usaha untuk meletakkan nama Pusat Pengajian Sains Kajihayat dan juga nama USM di arena global.
Selepas pembentangan tentang kemajuan terkini projek oleh kedua-dua pihak, Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan SRI, Kozaburo Nakaseko telah menandatangani plak perasmian pembukaan makmal tersebut yang turut disaksikan oleh Ketua Projek dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Professor Dr. K. Sudesh Kumar; Pengurus Jabatan Perancangan Bahan SRI, Kazuhisa Fushihara; Penyelidik Jabatan Perancangan Bahan SRI, Dr. Yukino Miyagi; Timbalan-timbalan Dekan dan Pengerusi-pengerusi Rancangan Pusat Pengajian Sains Kajihayat serta pelajar-pelajar ijazah tinggi.
Kesemua hadirin kemudiannya dibawa melawat makmal tersebut oleh Sudesh Kumar. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 1618