BERI KEUTAMAAN PADA TEMPATNYA, NASIHAT NC
PULAU PINANG, 22 Julai 2014 – Kira-kira 100 pelajar dari Penang Free School (PFS) dinasihatkan agar menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin dan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang sepatutnya diberi perhatian.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang juga alumni PFS berkata, sebagai manusia kita perlu berusaha untuk terus menikmati kehidupan yang dianugerahkan Ilahi dan dalam konteks pelajar, keutamaan adalah adalah menuntut ilmu.
Beliau berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama-sama warga PFS yang mana majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola PFS Dato' Rafique Abdul Karim, Yang Dipertua OFMA, Dato' Dr. Zahari Noor dan Pengetua PFS, Abdul Jalil Saad serta pegawai-pegawai USM dan guru-guru PFS.
Katanya, sekurang-kurangnya dalam tempoh 30 hingga 45 minit pertama ketika berada dalam bilik darjah, para pelajar perlu memberikan tumpuan yang sepenuhnya dan menyerap segala ilmu yang diajar oleh para guru.
``Ketika masa bermain pula, bermainlah bersungguh-sungguh. Perkara asas ini penting untuk diberi perhatian dalam usaha kita mencorak masa depan sebagai orang berguna bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, malah untuk negara,’’ ujarnya.
Omar juga turut menyuarakan rasa bangga menjadi antara alumni yang bertuah pernah menimba ilmu di PFS yang akan menginjak usi ke-200 tahun pada 2016 dan berharap nama baik PFS dapat dijaga dengan baik untuk anak-anak masa kini dan masa depan.
Tambah beliau, para pelajar PFS perlu tampil lain dari yang lain kerana nilai yang ada pada nama sekolah tertua di benua asia tenggara itu memberi satu simbol betapa ilmu tidak pernah hilang walau beribu tahun sekalipun.
``Tiada sebarang kemustahilan untuk berjaya dan menjadi orang yang berguna kepada masyarakat. Paling penting adalah usaha berterusan dan semangat tidak mudah mengalah,’’ katanya sambil memberitahu rakan-rakan sepejuangan beliau di PFS kini kebanyakannya sedang melalui kehidupan yang membanggakan.
Omar berkata, antara rakan-rakan seperjuangannya kini ada yang telah bergelar pakar forensik terkenal dalam negara, profesor, juruterbang berpengalaman, ahli perniagaan berjaya dan sebagainya.
``Mereka ini semua dahulunya bukanlah dari keluarga yang senang termasuk diri saya sendiri. Kami anak-anak dari kampung yang jauh dari segala kemudahan termasuk tiada bekalan elektrik, tiada kemudahan jalan raya yang baik dan sebagainya.
``Pun begitu ia bukan penghalang untuk berjaya. Walaupun laluannya adakalanya mungkin sedikit sukar namun ia bukanlah mustahil,’’ katanya sambal berharap para pelajar PFS dapat menjadikan kejayaan-kejayaan alumninya sebagai pendorong untuk cemerlang. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 839