IMARAHKAN MASJID AL-MALIK KHALID
PULAU PINANG, 22 Julai 2014 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyeru agar ketua-ketua jabatan menggerakkan seluruh warga universiti untuk mengimarahkan masjid, khususnya Masjid Al-Malik Khalid yang telah siap dilakukan pembaikan untuk meningkatkan keselesaan kepada jemaah.
"Marilah kita sama-sama mengimarahkan mesjid ini sekurang-kurangnya 15 minit sehari di sini untuk meningkatkan ketaqwaan dan kekuatan perpaduan dalam kalangan warga USM dan ummah seluruhnya," kata Omar berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Jabatan dan Warga Kampus di Mesjid Al-Malik Khalid di sini semalam.
Naib Canselor juga turut memberikan penghargaan kepada semua yang membantu menjayakan aktiviti Ramadhan USM.
"Saya juga ingin mengajak seluruh warga kampus untuk menginsafi apa yang terjadi kebelakangan ini dan menyatakan kesedihan atas korban tragedi MH17 termasuk seorang calon pensyarah USM, alumni dan anak mantan pensyarah USM," kata Naib Canselor.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Gabenor USM, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan, ketua-ketua jabatan dan pelajar antarabangsa.
Pengarah Pusat Transformasi Insan USM Dato' Haji Ellias Zakaria menyampaikan tazkirah pada majlis tersebut.
Selain itu, Omar juga menyebut tentang perancangan membangunkan Pusat Islam di IPT, membesarkannya di kampus kesihatan dan juga menjalankan proses pembesaran dan membaikpulih bangunan-bangunan lain di sekitar Pusat Islam.
``Kita berharap segala perancangan ini akan dapat direalisasikanmelalui pelbagai usaha termasuk menggunakan kaedah kerjasama pintar bersama pihak-pihak terlibat pada masa hadapan,’’ katanya. Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus MD. Isa
- Created on .
- Hits: 1087