SAINS@USM DIHARAP JADI MODEL KOLABORASI PINTAR AWAM-SWASTA
PULAU PINANG, 23 Julai 2014 – Kompleks SAINS@USM, Universiti Sains Malaysia (USM) diharap dapat menjadi model kepada kolaborasi pintar antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan bidang penyelidikan, perkhidmatan dan kepakaran teknikal.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr Omar Osman berkata, kompleks tersebut yang bakal dilengkapi inkubator-inkubator khas yang menempatkan bangunan makmal penyelidikan, fasiliti studio mahupun ruang pejabat komersial akan menjadi satu niche factor untuk USM mengembangkan keupayaannya.
Katanya, jika kompleks itu berjaya direalisasikan sepenuhnya kelak, ia akan menjadi satu lagi mercu tanda yang dapat memperlihatkan model sebenar kolaborasi pintar antara USM selaku agensi di bawah sektor awam dengan rangkaian agensi swasta yang komprehensif.
``Ia akan menjadi satu model yang bagus dengan penglibatan kedua-dua sektor dalam membantu menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang ilmu, penyelidikan mahupun perkhidmatan yang dapat meningkatkan ekonomi negara,’’ katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 warga SAINS@USM dalam majlis Iftar yang diadakan di sini semalam. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST), Jaffri Ibrahim, ahli-ahli akademik, penyelidik dan kakitangan SAINS@USM.
Omar dalam ucapannya juga turut mengulas isu-isu terkini yang menggemparkan negara dan dunia lewat kebelakangan ini termasuk nahas MH17, peperangan di GAZA dan perkongsian info viral di laman sosial yang menjadi trend pada masa kini.
Beliau berkata, selaku warga berilmu, masyarakat perlu mengambil iktibar dalam setiap kejadian dan mendoakan yang terbaik untuk kesejahteraan sejagat, selain menghulur bantuan sekadar yang termampu untuk meringankan beban mereka.
``Dalam konteks penyebaran info-info di laman sosial, kita perlu berhati-hati dan hanya menyebarkan perkara sahih yang disahkan sahaja, bukan berkongsi secara melulu kerana ia belum tentu betul.
``Kita bertanggungjawab dalam perkara yang kita sebar, dikhuatiri jika maklumat itu tidak betul kita akan menjadi penyebar fitnah. Menyebar fitnah adalah satu dosa yang berat,’’ katanya sambal mengingatkan warga USM untuk terus mengimarahkan bulan Ramadhan yang kini semakin hampir ke penghujung. Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 993