SAMBUT AIDILFITRI DALAM SEMANGAT UKHUWAH DAN KEINSAFAN
Saya, isteri Datin Noraizan Jamaludin dan seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga USM – termasuk siswa-siswi dan para alumni di mana jua berada bersama-sama ucapan Maaf Zahir dan Batin. Begitu juga kepada sahabat-sahabat USM yang selama ini sentiasa bersama-sama kami dalam menjayakan apa jua program dan kolaborasi.
Kita masih bersedih dengan nahas MH17 dan kehilangan MH370. Kita turut berdukacita dan mendoakan kesejahteraan semua yang terlibat serta mengharapkan keluarga mangsa sentiasa tabah menghadapi dugaan ini.
Pada masa yang sama kita terus berdoa untuk saudara-saudara yang sedang berhadapan dengan pergolakan di Gaza. Dunia berhadapan dengan krisis keamanan dan kemanusiaan yang mencabar kekuatan untuk menghadapinya apatah lagi bagi umat Islam di dunia sekarang ini.
Marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ini dengan mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan dan ukhuwah yang ada untuk terus menunaikan amanah dan tanggungjawab demi mencapai keredhaan Allah s.w.t. Perayaan seperti ini memberi kita peluang untuk turut mengeratkan hubungan silaturrahim dengan seluruh anggota keluarga serta sahabat handai jauh dan dekat, bertemu dengan mereka yang telah lama tidak berjumpa dan memastikan hubungan yang ada akan terus berkekalan.
Tentunya dalam memastikan suasana meriah perayaan, kita perlu mengambil kesempatan ini untuk bersalam-salaman dan berkomunikasi secara bersemuka serta mengelakkan daripada menumpukan masa dan perhatian kita kepada aktiviti lain terutamanya gajet-gajet yang canggih untuk perhubungan maya sebagai satu daripada gaya hidup baharu sekarang ini. Adalah malang jika kita hanya memberi perhatian kepada mengemaskini laman sosial tatkala kita seharusnya berusaha merapatkan diri dan mengukuhkan ikatan ukhuwah kekeluargaan yang ada di hadapan kita.
Ini bukan sahaja akan menyebabkan kaum keluarga akan tersinggung malah juga menyebabkan kita kerugian peluang untuk lebih mengenali dan menghargai terutamanya ibu bapa dan keluarga terdekat yang sepatutnya masa yang ada ini dapat digunakan bagi mengeratkan kasih sayang sesama kita. Hakikatnya teknologi tidak harus menggantikan interaksi sosial sesama manusia yang jauh lebih utama.
Mengukuhkan silaturrahim ini amat penting, termasuk juga dalam kalangan kita warga universiti. Inilah masanya untuk kita bersalam-salaman dan menanamkan tekad untuk bersama-sama meneruskan usaha membangunkan universiti ini demi kelangsungan tamadun dan kekuatan budaya ilmu sebagai teras utama kita di sini.
Pemerkasaan hubungan kekeluargaan ini menjadikan kita lebih kuat dalam menggembleng kepelbagaian disiplin ilmu yang ada dan mengelakkan kita daripada bekerja bersendirian atau "silo". Perayaan seperti sambutan Aidilfitri ini tentunya mengajak kita untuk lebih akrab dan merapatkan jalinan kerjasama untuk menjayakan amanah yang kita junjung bersama-sama.
Sekaligus ini akan membolehkan kita menjayakan agenda yang ada dengan penuh hemah, komitmen dan minat mendalam demi menjayakan usaha memajukan bangsa dan agama melalui proses pendidikan dan penyelidikan yang menjadi kekuatan kita bersama.
Saya berdoa agar kita semua sentiasa diberikan perlindungan, kerahmatan dan kekuatan untuk menjulang nama USM ke tahap yang lebih tinggi. Dalam kita mempertahankan idealism sebuah ilmu, kita juga perlu bersikap realistik dalam memastikan apa yang kita fikir, rancang dan persetujui bersama-sama, benar-benar dapat dijayakan dengan sebaik mungkin.
Mengukuhkan ikatan ukhuwah ini sangat penting sebagai teras pembangunan institusi, bangsa dan negara. Insafi nasib mereka yang dirundung musibah terutamanya nasib saudara-saudara kita di Gaza, Syria dan pelbagai negara lain yang sedang bergolak.
Sebahagiannya adalah bermula dengan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri. Apabila berpecah belah maka sukarlah untuk membangunkan apa jua institusi dan organisasi yang ada termasuk bangsa dan negara.
Akan ada yang mengambil kesempatan dan memainkan peranan hingga keadaan menjadi begitu sukar. Kita amat bersimpati dan merasai nasib dan kemusnahan yang terjadi akibat daripada pergolakan, krisis dan konflik yang ada. Anak-anak dan kaum wanita serta orang awam sering menjadi mangsa. Darah merah yang mengalir, nyawa yang melayang dan kemusnahan harta benda yang bukan sedikit.
Saya menyeru untuk kita terus berdoa memohon pertolongan dan bantuan Allah s.w.t dalam menghadapi saat genting ini. Marilah juga bersama-sama menyumbang untuk Tabung Gaza yang kita tubuhkan. Berilah sumbangan dengan tulus ikhlas.
Akhirnya berhati-hatilah ketika memandu, bersabar dan berhemahlah di jalanraya. Sentiasa ingat orang tersayang yang menanti ketibaan kita mahu pun sentiasa ada bersama-sama kita. Hormati orang lain dan jangan jadikan sambutan Hari Raya ini yang terakhir buat kita.
Sekali lagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri dari saya dan keluarga serta mewakili juga seluruh kepimpinan USM.
Maaf Zahir Batin.
Profesor Dato' Dr. Omar Osman, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia
- Created on .
- Hits: 4615