AKTIVITI MASJID AL-MALIK KHALID BAKAL DIPERGIAT
PULAU PINANG, 24 JULAI 2014 – Pelbagai aktiviti bakal dipergiatkan di masjid Al-Malik Khalid Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menarik lebih ramai jemaah dari dalam dan luar universiti setelah siap sepenuhnya dibuat penambahbahbaikan di ruang solat masjid berkenaan.
Kos menambahbaik ruang solat masjid menelan belanja hampir RM3.5 juta termasuk pemasangan penghawa dingin adalah untuk keselesaan orang ramai menggunakan kemudahan yang disediakan di masjid tersebut.
Pengarah Pusat Islam, USM Dato’ Profesor Dr. Muhammad Idiris Saleh, berkata, projek penambahbaikan yang mengambil masa selama 4 bulan ini diharap membolehkan USM memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk semua pengguna mesjid ini.
“Bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana sepanjang proses penambahbaikan di bulan Ramadhan, orang ramai amat memahami dengan kesulitan yang dihadapi dan masjid turut menerima pelbagai sumbangan dan tajaan bagi menjayakan program sepanjang bulan puasa terutamanya iftar,” kata Muhamad Idiris.
Ujar beliau lagi, Ramadhan kali ini juga disambut sederhana memandangkan pelajar-pelajar bercuti, namun aktiviti-aktiviti sedia ada berjalan seperti biasa termasuk penyediaan makanan dan moreh yang disediakan oleh staf-staf universiti sendiri.
“Seperti tahun-tahun lalu kita menyediakan juadah berbuka puasa untuk kira-kira 1,000 orang berbuka puasa di sini berkurang sedikit dari tahun-tahun dahulu memandangkan pelajar bercuti dan keadaan masjid yang sedang dibaiki, ” kata beliau di majlis iftar bersama pengurusan Bank CIMB USM kelmarin.
Turut hadir adalah Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Malaysia dan isteri, mantan Pengarah Pusat Islam Prof. Madya Nasirun Mohd Saleh, Tuan Hj. Zarizan Ibrahim, Pengurus Bahagian Syariah CIMB Islamic, Encik Md Kamarulzaman Md Yusoff, Pengurus CIMB Bank cawangan USM serta pegawai-pegawai utama USM dan CIMB.
Pada majlis tersebut CIMB turut menyumbang dana berjumlah RM10,000.00 bagi kegunaan Pusat Islam menjalankan program di masjid Al-Malik Khalid.
Hj. Zarizan Ibrahim, Pengurus Bahagian Syariah CIMB Islamic berkata diharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu Pusat Islam dalam merencana program-program untuk kebaikan semua.
“Pihak CIMB sentiasa menyokong segala usaha yang dilakukan oleh Pusat Islam dan kita amat berbesar hati untuk bekerjasama di masa-masa akan datang”
Turut hadir dan dirai ialah seramai 32 orang anak-anak Yatim dari rumah anak Yatim An-Nur, Kulim, Kedah yang turut berbuka bersama seluruh warga Pusat Islam dan CIMB. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1230