IFTAR BERSAMA JABATAN KESELAMATAN USM: 17 STAF NAIK PANGKAT
PULAU PINANG, 23 Julai 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini berbuka puasa bersama-sama warga jabatan tersebut.
Hadir sama adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy, Pengarah Pusat Transformasi Insan, Dato' Hj. Elias Zakaria yang memberi tazkirah Ramadhan, ahli Lembaga Gabenor Universiti Datuk Dr. Omar Shawkataly, Ombudsman Dato' Seri Md. Salleh Yaapar, pegawai-pegawai utama USM serta beberapa staf Jabatan Keselamatan Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju.
Terdahulu P. Sundramoorthy menyatakan hasrat agar Jabatan Keselamatan USM untuk memberikan perkhidmatan lebih berkesan untuk komuniti universiti melalui kesungguhan dan iltizam yang tinggi dalam kalangan seluruh warga Jabatan Keselamatan.
Sundramoorthy berkata demikian selepas upacara pemakaian pangkat kepada staf Jabatan Keselamatan di sini hari ini. Seramai 17 orang staf Jabatan Keselamatan naik pangkat KP14 bermula bulan November lalu.
“Saya gembira kerana secara keseluruhannya pihak Jabatan Keselamatan telah menerima banyak maklum balas positif daripada komuniti USM tentang peranan Jabatan Keselamatan yang saya percaya adalah hasil sumbangan warga Jabatan Keselamatan yang komited kepada usaha yang sedang dilakukan yang seharusnya dapat dikekalkan malah ditingkatkan lagi pada masa hadapan," tambah Sundramoorthy.
Katanya lagi, warga Jabatan Keselamatan perlu menjalankan tugas masing-masing tanpa mementingkan diri sendiri.
“Adalah menjadi harapan saya agar semua staf memberikan tumpuan dan komitmen sepenuhnya kepada tugas sewaktu bekerja tetapi jangan lupa juga kepada tanggungjawab diri terhadap keluarga dan juga pentingkan kesihatan diri masing-masing,” kata Pengarah Jabatan Keselamatan itu lagi. - Teks: Suhaili Mohd Zaini/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1296