USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM USAHA LAHIR PENYELIDIK HAIWAN MARIN BERTARAF DUNIA

040814

TELUK BAHANG, 4 OGOS 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) kini berusaha melahirkan lebih ramai penyelidik bidang haiwan mamalia marin bertaraf dunia melalui kepakaran yang dimiliki bagi membantu negara yang kekurangan pakar bidang terbabit.

Sejak tahun 1990 Asia Tenggara termasuk Malaysia dikatakan amat kekurangan tenaga pakar penyelidik bidang ini menyebabkan negara berdepan masalah kepupusan haiwan yang semakin kritikal seperti Paus, Dugong, ikan Lumba-Lumba dll.

Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan & Inovasi, Universiti Sains Malaysia berkata ahli-ahli biologi muda kini kurang didedahkan pengetahuan kajian mamalia marin, atas sebab ini USM bertindak mengadakan pelbagai kursus dan bengkel bagi tujuan berkenaan.

“Pada kali ini USM berjaya mengumpul penyelidik muda dan pelajar Pascasiswazah dari rantau Asia Tenggara berkongsi kepakaran termasuk menjalankan kajian bersama di sekitar perairan Pulau Pinang”

“Ini merupakan permulaan yang baik bagi USM mencapai hasrat melahirkan penyelidik mamalia marin kelas dunia, sejajar dengan misi USM menjadi perintis kepada Penyelidikan intensif bertaraf global” ucap beliau ketika mewakili Naib Canselor merasmikan bengkel antarabangsa ‘Capacity Building in Conducting Cetacean Abundance Surveys in South East Asia’ anjuran Pusat Kajian Samudera Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia di Taman Negara kelmarin.

Turut bersama di majlis berkenaan adalah Prof. Madya Dr. Shahrul Anuar Mohd. Sah, Pengarah Pusat Kajian Samudera Pantai, Timbalan-Timbalan Pengarah serta peserta-peserta bengkel dari Filipina, Indonesia, Kemboja, Thailand, Vietnam, India dan Malaysia.

Tambah Muhamad melalui penganjuran bengkel sebegini aspek teori dan praktikal dapat diserap agar penyelidik muda ini dapat memulakan projek Penyelidikan haiwan mamalia marin ini dengan teratur sekaligus memenuhi matlamat pembangunan Penyelidikan di Asia Tenggara dalam bidang terbabit.

“Apatah lagi kita telah menjemput pakar-pakar antarabangsa yang mahir untuk bersama mengikuti bengkel ini iaitu Dr. William Perrin (Amerika Syarikat), Dr. Louella Dolar (Filipina) termasuk  pakar tempatan, Dr. Leela Rajamani (USM) yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang biologi mamalia dan ekologi marin.”

DSC 3132

Pada majlis yang sama, Prof.  Madya Dr. Shahrul Anuar Mohd. Sah berkata penyelidikan yang dibuat  tidak hanya tertumpu kepada cambahan ilmu untuk para penyelidik semata-mata, tetapi mengajak penyelidik untuk memikirkan cara terbaik menyebarkan kepakaran ini kepada masyarakat luar.

Ujar Shahrul, umum sedia maklum kebanyakan masalah kepupusan adalah berpunca dari kerakusan manusia itu sendiri yang merosakkan ekosistem haiwan tersebut.

“Saya berharap dengan ada bengkel sebegini ia dapat menampung keperluan ilmu untuk disebarkan kepada masyarakat luar agar bersama dengan kita untuk memulihara kehidupan haiwan mamalia marin ke arah yang lebih baik”

Tambah beliau, sejak penyelidikan dibuat bermula 2011 di USM, didapati empat spesis ikan lumba-lumba telah ditemui di Pulau Pinang antaranya adalah jenis Irrawaddy, Indo Pasifik Humpback dan Finless Porpoise.

Bengkel ini bakal berlangsung selama lapan hari yang akan dikendalikan oleh ketiga-tiga pakar untuk menyalurkan latihan menyeluruh termasuk menganalisa data setiap aspek haiwan mamalia marin di sekitar perairan Pulau Pinang.Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1236

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024