SAINTIS MUDA ASEAN TERUJA SERTAI BENGKEL CEMACS
PULAU PINANG, 6 Ogos 2014 – Para peserta seminar merangkap bengkel khas anjuran Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) rata-ratanya berpendapat program tersebut amat sesuai dan berkesan dalam meningkatkan pengetahuan mereka khususnya dalam kajian Cetacean.
CEMACS menganjurkan Seminar/Bengkel Membangunkan Kapasiti Pelaksanaan Kajian Haiwan Marin Cetacean di Asia Tenggara, yang memberi tumpuan kepada kajian cetacean - mamalia marin seperti ikan lumba-lumba dan dugong di Teluk Aling, di sini baru-baru ini.
Salah seorang peserta, Ahli Biologi Marin sebuah pusat penyelidikan di Singapura, Jesus Rey Dongallo berkata, bengkel khas selama tujuh hari tersebut adalah peluang terbaik untuknya meningkatkan pengetahuan dalam bidang berkaitan.
Beliau yang telah berkecimpung lama dalam kajian marin berkata, kesempatan berada di CEMACS mengikuti bengkel secara intensif bersama fasilitator terkemuka dunia itu memberi satu pengalaman yang cukup bernilai khususnya dalam memajukan karier beliau.
``Saya berpeluang untuk belajar pelbagai ilmu baru khususnya metodologi dalam menjalankan kajian saintifik, selain berkesempatan menjalankan kerja lapangan bersama fasilitator yang memang berkepakaran dalam bidang ini,’’ katanya.
Beliau yang berasal dari Filipina juga memberitahu, pengalaman kali pertama menjejakkan kaki di CEMACS telah mewujudkan satu motivasi kepadanya untuk terus memulihara mamalia marin, selain menjadi penyuntik semangat untuknya memperluaskan ilmu.
``Bengkel ini juga memberikan latihan lengkap termasuk dalam aspek teori dan praktikal, termasuk analisis data untuk menjalankan kajian cetacean yang relevan untuk negara-negara membangun,’’ ujarnya.
Selain beliau, Ketua Fasilitator merangkap pengasas Tropical Marine Research for Conservation (TRC) yang berpengkalan di San Diego, California, Dr. Louella Dolar pula berkata, peluang berinteraksi dengan saintis muda itu adalah salah satu langkah efektif dalam mengembangkan rangkaian penyelidikan bidang tersebut di peringkat serantau.
Katanya yang mempunyai kepakaran lebih 20 tahun dalam bidang biologi dan ekologi mamalia marin, ilmu yang dikongsi bersama dalam program tersebut akan membuahkan hasil lebih baik untuk manfaat bidang tersebut yang sehingga kini masih kurang popular dalam kalangan penyelidik.
``Interaksi di antara pengalaman dari pakar-pakar yang telah berkecimpung lama dengan saintis-saintis baru akan memberi lebih pemahaman dan maklumat lebih holistik untuk kajian-kajian mamalia marin.
``Ia turut membantu menyuntik lebih banyak peluang melebarkan jaringan kerjasama antara penyelidik khusunya di peringkat antarabangsa bagi membangunkan kajian lebih komprehensif untuk memahami ekologi mamalia marin tersebut,’’ ujar beliau.
Profesor Kunjungan dari Scripps Institution of Oceanography, Amerika Syarikat, Dr. William Perrin pula berkata, sesuatu yang amat menarik melihat saintis-saintis muda di rantau asean berkumpul untuk berkongsi pengetahuan dalam bidang tersebut secara lebih menyeluruh.
``Kami amat berharap untuk melihat lebih banyak kajian-kajian cetacean yang akan dijalankan pada masa depan oleh saintis-saintis muda ini untuk manfaat sejagat, kesan dari kesedaran dan pengetahuan yang diperoleh melalui bengkel ini.
``Kita juga amat berharap lebih banyak usaha-usaha pemuliharaan mamalia marin ini dapat dilakukan termasuk membendung ancaman persekitaran seperti aktiviti penangkapan ikan secara tidak terancang, pencemaran dan sebagainya,’’ ujar beliau.
William Perrin juga ialah pakar biologi marin cetacean terkemuka dunia yang sehingga kini telah menerbitkan lebih dari 12 buku berkaitan cetacean dan ikan lumba-lumba di serata dunia.
Penerbitan pertamanya beliau dalam bidang cetacean dibuat pada 1972 dan sehingga kini masih aktif menerbitkan pelbagai penulisan ilmiah yang menjadi rujukan di seluruh dunia. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1249