USAHA MELESTARIKAN WARISAN
PULAU PINANG, 7 Ogos 2014 -Usaha perlu dilakukan untuk memastikan budaya dan kerja seni sesuatu kaum dan bangsa diwarisi untuk generasi yang akan datang.
"Usaha memelihara ilmu pengetahuan berkaitan budaya warisan ini perlu dibuat secara bersungguh-sungguh dan diketengahkan ke mata dunia sebagai satu legasi warisan yang mendekatkan jurang antara budaya dan kefahaman dalam pelbagai komuniti dapat dibuat," kata Pengarah New Zealand Maori Arts and Crafts Institute Karl Johnstone.
Ditemui ketika membuat persediaan pameran kira-kira 80 bahan yang dibawa dalam "Tuku Iho Living Legacy" yang akan dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman jam 11.30 pagi esok, Karl Johnstone berkata, hasil dari usaha pendidikan berterusan di New Zealand dalam bidang pemeliharaan warisan ini dapat disaksikan sendiri di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM mulai esok hingga 15 September ini di antara jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang kecuali Ahad dan cuti umum.
Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia David Pine akan turut hadir ke majlis tersebut.
Tambahnya di New Zealand pendidikan tentang pemeliharan dan pewarisan seni budaya seperti orang asal Maori ini dilakukan dengan serius.
Tuku Iho bermakna "handed down" atau diperturunkan kepada generasi demi generasi ilmunya untuk memastikan ia dapat terus kekal lestari.
Pameran terbuka secara percuma kepada orang ramai ini adalah sebahagian daripada acara yang diadakan sempena George Town Festival 2014. Semua dijemput hadir. Teks dan Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 3729